Penduduk desa tersebut telah lama berpindah ke kawasan lain selepas kawasan perkampungan itu dilanda tsunami pada 26 Disember 2004.

Bagaimanapun, pada 26 Disember tahun lalu iaitu selepas 13 tahun kejadian gempa bumi dan ombak besar tsunami, penduduk asal kampung tersebut kembali dengan membawa keluarga masing-masing bagi memperingati kejadian itu.

Masjid Baitil Atiq merupakan salah satu struktur di kampung tersebut yang terjejas dan tidak lagi digunakan kerana keadaannya begitu uzur.

Seorang penduduk, T. Irhami, 48, berkata, bagaimanapun, masjid tersebut tetap menjadi lokasi untuk diadakan majlis kenduri kesyukuran pada setiap tahun bagi memperingati kejadian tsunami.

“Meskipun keadaan masjid usang, namun penduduk tetap berkunjung ke situ kerana ia merupakan antara bangunan asal yang masih terselamat.

“Walaupun masjid itu berada di kawasan berhampiran pantai namun ia tidak musnah sepenuhnya ketika dibadai tsunami malah orang ramai yang berlindung di situ ketika kejadian ombak besar turut terselamat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kejadian tsunami itu mengorbankan 376 nyawa penduduk Desa Padang Suerahet kerana kebanyakan rumah berada di kawasan pesisir pantai.

“Ketika ombak besar melanda, banyak rumah penduduk musnah malah mayat-mayat turut bergelimpangan dan tersangkut pada struktur bangunan yang rosak.

“Keadaan ketika itu sangat mengerikan dan peristiwa ombak besar terbabit masih kekal dalam ingatan saya seperti baru berlaku semalam walaupun ia sudah 13 tahun berlalu,” kata Irhami.

Di Kabupaten Aceh Barat terdapat dua tanah perkuburan awam yang dikhaskan untuk mangsa tsunami 2004 dan salah satu daripadanya terletak di Suak Indra Puri, Kecamatan Johan Pahlawan manakala sebuah lagi di Desa Beureugang, Kecamatan Kaway XVI.

Ombak besar

Menurut Ketua Desa Pasir, Kecamatan Johan Pahlawan, Saiful Azhar, 62, meskipun peristiwa hitam itu telah lama berlaku namun dia sering bermimpi keganasan ombak besar tersebut.

“Masih segar dalam fikiran saya bagaimana isteri dan lima anak terlepas daripada pandangan apabila mereka semua ditelan ombak tsunami sehingga tidak ditemui sehingga hari ini.

“Walaupun kesemua ahli keluarga saya tidak berjaya ditemui namun saya datang ke tanah perkuburan ini untuk menziarahi mangsa-mangsa lain yang menjadi korban dan berdoa untuk mereka,” ujarnya.

Saiful memberitahu, meskipun reda dengan takdir yang ditentukan namun jauh di sudut hatinya rasa hampa dan kecewa kerana mayat ahli keluarganya gagal ditemui.

Tanah perkuburan khas tersebut juga sering menjadi tumpuan orang ramai untuk memberikan penghormatan kepada mangsa tsunami terutamanya ketika musim perayaan dan cuti umum.

Selain mangsa yang beragama Islam, tanah perkuburan tersebut turut menempatkan mangsa beragama lain seperti Kristian dan Buddha di satu kawasan.

Pembangunan

Malangnya, kesemua mangsa telah dikebumikan di dalam satu liang lahad besar dan menyukarkan orang ramai untuk mencari kubur ahli keluarga mereka ekoran tiada papan tanda nama diletakkan.

Pada kebiasaan, setiap ahli keluarga yang menziarahi perkuburan berkenaan akan mengadakan ritual keagamaan masing-masing seperti orang Islam akan membaca surah Yasin manakala penganut agama Buddha akan membakar colok serta membawa makanan.

“Selepas tsunami, penyelamat hanya mampu membezakan mayat yang ditemui berdasarkan jantina mereka, itu pun mengikut jenis potongan rambut. Jadi, ketika dikebumikan, kesemuanya dimasukkan dalam kain putih dan ditempatkan dalam satu liang,” ujar Saiful.

Sementara itu, di lokasi tanah perkuburan Suak Indra Puri yang menempatkan seramai 2,000 mangsa turut terdapat sebuah tugu khas yang menceritakan secara ringkas kejadian gempa bumi sekuat 9.2 pada skala Ritcher pada 26 Disember 2004.

Tulisan pada tugu berkenaan turut menceritakan seramai 132,000 penduduk Aceh dilaporkan terbunuh manakala 37,000 orang lagi gagal dikesan selepas dihanyutkan ombak tsunami.

Prihatin terhadap nasib yang menimpa bumi Aceh dan Nias, sejumlah 44 buah negara dari seluruh dunia tampil menghulurkan pelbagai bantuan bagi membantu meringankan beban mangsa tsunami serta pemerintah Indonesia.

Selain itu, seramai 16,000 anggota keselamatan, 14 buah kapal perang, 31 pesawat dan 75 helikopter dari negara serantau turut sama turun padang bagi melaksanakan operasi menyelamat, logistik dan perubatan.

Dalam pada itu, pihak pemerintah Kabupaten Aceh Barat mengenang 14 tahun bencana tsunami dengan menjalankan program keagamaan seperti berzikir dan berdoa beramai-ramai selain mengadakan lawatan ke rumah anak-anak yatim di Masjid Agung Baitul Makmur Meulaboh.

Menurut Bupati Aceh Barat, H. Ramli, majlis mengenang tsunami itu bertujuan untuk memberi iktibar dan nasihat kepada rakyat agar sentiasa memperbaiki tingkah laku dan perbuatan ke arah lebih baik.

“Sepanjang program ini berlangsung selama tiga hari bermula 25 Disember tahun lalu, nelayan dilarang turun ke laut, semua kedai perlu ditutup dan setiap premis perlu menaikkan bendera setengah tiang.

“Kami mahu rakyat Aceh menghormati dan mengenang peristiwa tersebut secara mendalam agar terus membaiki diri dengan sentiasa melakukan kebaikan dan mengikut perintah yang ditetapkan oleh Tuhan,” ujarnya.

Pihak pemerintah sentiasa berusaha membangunkan Aceh dengan menyediakan perumahan yang selesa, kemudahan jaringan jalan raya selain turut menyemai sikap nasionalisme dalam kalangan rakyat Serambi Mekah itu.