Masih jelas diingatannya betapa dia cuba mengelak dengan berbaris antara yang paling akhir dalam kalangan rakan-rakannya yang lain. Tidak dilupakan juga, betapa kuat raungannya ketika jarum disuntik di bahunya oleh jururawat bertugas.

“Saya terlalu takut dan tidak faham mengapa kanak-kanak kecil seperti saya perlu disuntik. Ia membuatkan saya menangis sekuat hati kerana terlalu takut.

Doktor cilik

“Walhal, ia tidak sedikit pun rasa sakit dan hanya mengambil masa kurang 20 saat. Saya percaya, masih ramai kanak-kanak di luar sana yang seperti saya sewaktu kecil, takut tentang apa sahaja berkaitan doktor dan perubatan,” kongsinya yang merupakan seorang pelajar jurusan Undang-Undang daripada Kolej Pengajian Tinggi ATC, Kuala Lumpur.

Ironinya, pengalaman Nizua Iddil Syafiq itu bukanlah perkara asing dalam masyarakat kita. Mitos doktor itu menakutkan, jumpa doktor pasti sakit dan ubat itu pahit seolah-olah menghantui dunia kanak-kanak.

Ibu bapa juga pastinya antara yang terkesan dengan masalah ini memandangkan ada anak-anak yang sangat takut dengan doktor sehingga tidak mahu mengambil ubat ketika sakit.

Jika itu yang sedang digusarkan oleh ibu bapa sekalian, bawalah anak-anak anda ke program Toyspital kali kedua yang akan berlangsung pada 22 Julai ini di Dewan Lotus, Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya, Selangor.

Diinspirasikan daripada program kanak-kanak di Ireland, Toyspital memberi peluang kepada peserta cilik berusia tiga hingga tujuh tahun untuk menjalani aktiviti lakon peranan sebagai seorang doktor.

Doktor cilik kemudian akan menjalankan tujuh prosedur perubatan menggunakan anak patung lembut sebagai ‘pesakit’.

Antara prosedur yang dimaksudkan ialah Super Surgeon. Di sini kanak-kanak diperkenalkan dengan alatan pembedahan dan organ dalaman dalam tubuh manusia menggunakan anak patung beruang khas lengkap ‘berorgan’ disediakan penganjur.

Pengarah Program Toyspital, Marissa Muhd. Dinar berkata, program diasaskan oleh pelajar dari pelbagai latar belakang pengajian dan universiti itu dianjurkan bertujuan memperkenalkan elemen bidang perubatan kepada kanak-kanak dengan cara lebih interaktif.

Tujuh stesen

“Terdapat tujuh stesen bertema disediakan khas untuk kanak-kanak bereksplorasi bukan sahaja tentang alatan perubatan dan perihal kedoktoran malah cara bersenam, menjaga makan dan banyak lagi dengan bantuan alatan dan komunikasi yang lebih mudah dan ceria.

“Kami percaya, penganjuran kali kedua ini dapat menyuntik pelbagai kebaikan terhadap mereka termasuk amalan gaya hidup sihat, selain menghilangkan rasa takut yang seringkali timbul setiap kali berdepan dengan doktor,” katanya pada sidang akhbar di Kafe La Cucur, Bangsar, ibu negara, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai Toyspital 2018, Ketua Jawatankuasa Penganjurnya, Adlina Ab. Rahim memaklumkan terdapat beberapa penambahan baharu dilakukan sebagai tarikan kepada peserta program dan ibu bapa pada tahun ini.

“Tahun 2017, kita sediakan enam stesen sahaja iaitu Super Surgeon, Where Did My Food Go, Run Teddy Run, Make Way For Airway, Ouch! Teddy Got Hurt dan Super Vision. Tahun ini, ada stesen Prick O’ Treat khusus tentang jarum, suntikan dan vaksin.

“Selain itu, kapasiti tempat juga bertambah dengan empat sesi dibuka berbanding hanya tiga sesi pada tahun lalu. Satu sesi boleh memuatkan 125 orang peserta,” jelasnya.

Tidak hanya itu saja, terdapat juga aktiviti disediakan untuk ibu bapa seperti pemeriksaan kesihatan percuma, demonstrasi melakukan kaedah bantuan penafasan (CPR) dan juga ceramah berkaitan kesihatan anak.

Dianjurkan oleh MediAid, Malaysian Medics International (MMI), Pusat Perubatan Sunway dan syarikat insurans Etiqa, ibu bapa yang berminat, boleh mendaftarkan penyertaan anak mereka menerusi borang yang disediakan di laman Facebook Toyspital KL.

Bayaran masuk dikenakan sebanyak RM30 untuk peserta dan percuma untuk ibu bapa.