Justeru, Jabatan Pertanian terus komited untuk memberikan perkhidmatan pengembangan yang terbaik di samping melaksanakan aktiviti khidmat regulatori termasuk menguatkuasakan akta-akta pertanian.

Sistem penyampaian perkhidmatan Jabatan Pertanian sentiasa ditransformasikan mengikut arus semasa bagi memastikan peningkatkan hasil potensi industri tanaman dan asas tani yang berkualiti dapat dicapai mengikut piawaian Amalan Pertanian Baik (GAP) dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) (Rajah 1).

Selaras dengan komitmen tersebut, produktiviti dan kualiti akan menjadi nilai tambah dalam menjana peningkatan pendapatan sekali gus dapat menjana ekonomi negara.

Peranan

Ejen pengembangan iaitu semua pegawai teknikal Jabatan Pertanian mempunyai peranan yang amat besar dalam memastikan sistem penyampaian dilaksanakan dengan berkesan.

Setiap ejen pengembangan perlu sentiasa melalui proses pembelajaran sepanjang hayat bagi melengkapkan diri sama ada dalam ilmu teknikal mahupun kemahiran kerana peningkatan kompetensi mereka penting dalam proses pengembangan dan pemindahan teknologi.

Ejen pengembangan juga harus mengamalkan kesegeraan (sense of urgency) dalam pekerjaan mereka dalam memastikan setiap perancangan yang dilaksanakan dapat dicapai dengan jayanya.

Semangat kerja berpasukan perlu diperkukuhkan dan pada masa yang sama mereka harus mematuhi prosedur peraturan pentadbiran dan kewangan bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.

Dalam proses sistem pengembangan pertanian (Rajah 2), ejen pengembangan perlu memastikan mereka sentiasa bersedia dan peka dengan setiap perkembangan teknologi dan hasil penyelidikan pertanian di seluruh dunia supaya input pengetahuan mereka sentiasa dikemas kini.

Moden

Ini adalah penting kerana golongan petani sekarang turut terdedah dengan teknologi terkini sejajar dengan perkembangan dunia tanpa sempadan. Transformasi sektor pertanian daripada pertanian konvensional kepada pertanian moden yang berasaskan mekanisasi dan automasi harus dilakukan dari semasa ke semasa.

Penggunaan Internet Of Things (IOT) dan Smart Farming dalam sektor pertanian ke arah Revolusi Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital perlu segera dikuasai oleh ejen pengembangan supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan mudah dan cepat.

Selain itu, ejen pengembangan perlu mengambil tahu setiap arahan kerajaan bagi membangunkan program dan projek yang dirancang khusus untuk mensejahterakan rakyat.

Penyampaian perkhidmatan yang berkesan akan menyebabkan berlakunya penambahan pendapatan serta perubahan status sosial masyarakat dan ia akan memberi satu signifikan yang besar.

Ini adalah kerana penyampaian tersebut memberikan faedah yang besar, kepuasan maksimum dan keuntungan hasil yang tinggi kepada golongan sasaran.

Selain itu, keperibadian ejen pengembangan juga memainkan peranan yang sangat penting bagi membawa imej jabatan.

Ejen pengembangan perlu berfikir secara orientasi perniagaan supaya mampu menjadi pakar rujuk dan dapat berfikir secara strategik serta boleh membuat keputusan yang cepat dan tepat.

Ini sekali gus selari dengan hasrat kerajaan menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan yang membawa kepada keuntungan besar.

Oleh itu, peranan ejen pengembangan dalam transformasi sistem penyampaian pertanian amat penting bagi memastikan subsektor tanaman dapat dikembangkan dan diperluas dengan kaedah terkini sejajar hasrat kerajaan untuk menjadikan pertanian sebagai sumber kekayaan baharu.