Sehubungan itu, Islamic Relief Malaysia (IRM) telah bekerjasama dengan MRA International Sdn. Bhd. (MRA International) menerusi Projek Pendidikan-Pertanian Cendawan Tiram Kelabu kepada komuniti Orang Asli Bukit Tampoi di Dengkil, Selangor.

Penanaman cendawan tiram kelabu itu diusahakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tampoi, Dengkil.

Menurut Pengarah Bahagian ‘Partner Care’ IRM, Kamarul Halim Sakrani, projek tersebut dilaksanakan untuk meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan mampan penerima manfaat yang disasarkan selain memberi pendedahan ilmu pertanian baharu kepada mereka.

“Projek ini bukan sahaja disasarkan untuk warga dewasa Orang Asli tetapi diharapkan dapat menarik minat dan semangat para pelajar SK Bukit Tampoi Asli untuk hadir ke sekolah dengan adanya persekitaran baharu,” katanya ketika merasmikan Projek Pendidikan-Pertanian Cendawan Tiram Kelabu itu di SK Bukit Tampoi, Dengkil baru-baru ini.

Ujarnya lagi, pemilihan tanaman cendawan tiram kelabu dibuat kerana ia menjadi hidangan yang popular dan digemari masyarakat serta banyak ditanam secara komersial di seluruh dunia.

Keenakan rasa dan khasiat kandungan protein, serat, vitamin E, selenium, zat besi, kalsium dan magnesium telah memberi nilai tambah lantas meningkatkan permintaan tumbuhan itu di pasaran.

Sementara itu, Pengarah Urusan MRA International, selaku penaja projek, Mohd. Hazim Hassan melahirkan rasa gembira apabila melihat perkembangan projek dan mendengar berita hasil tuaian pertama serta jualan cendawan tiram yang berjaya diperoleh dalam tempoh singkat.

Impak

“Saya juga dapat melihat semangat dan kegembiraan di wajah para peserta apabila menunjukkan hasil tuaian perusahaan ini kepada kami.

“Meskipun tapak perusahaan cendawan tiram kelabu ini bersaiz kecil tetapi impaknya dilihat sangat besar kepada komuniti Orang Asli,” tuturnya.

Ulas Mohd. Hazim, ia bukan sahaja memberi kebaikan dari sudut ekonomi malahan mampu memberi perspektif baharu kepada masyarakat setempat untuk menceburi bidang pertanian.

Bagi mempersiapkan para peserta dalam mengusahakan projek ini, mereka dibekalkan dengan ilmu tanaman dan penjagaan cendawan melalui kursus dan latihan.

Dalam pada itu, salah seorang peserta perusahaan cendawan tiram, Hardi Epok berasa bersyukur dan gembira kerana diberi peluang menyertai program tersebut.

“Projek Pendidikan-Pertanian Cendawan Tiram Kelabu merupakan peluang keemasan yang datang sekali sahaja.

“Tanaman cendawan merupakan sesuatu yang baharu bagi komuniti saya namun, ia mampu membawa kami melangkah jauh ke hadapan,” ulasnya.

Hardi menaruh harapan yang tinggi agar projek tersebut dapat diteruskan dengan skala yang lebih besar supaya menjadi platform untuk komuniti Orang Asli memajukan diri dan ekonomi keluarga.