Ia merupakan hari yang sangat bermakna buat seluruh rakyat Malaysia kerana pada tarikh itu kita menyambut Hari Kebangsaan.

Hari kemerdekaan ini disambut secara besar-besaran sama ada di peringkat kebangsaan ataupun negeri. Perasaan betapa tingginya nilai dan erti kemerdekaan dalam kalangan mereka yang pernah berjuang untuk mencapai kemerdekaan tidak mampu diterjemahkan melalui penulisan ataupun kata-kata.

Hanya mereka yang terlibat secara langsung dalam proses kemerdekaan ini dapat merasai perasaan yang sebenarnya betapa tingginya nilai sebuah kemerdekaan yang dikecapi selama 61 tahun yang lalu.

Terlalu banyak pengorbanan wang, masa dan tenaga telah digunakan untuk tujuan ini.

Oleh yang demikian, adalah menjadi satu kewajipan kepada generasi muda yang ada pada hari ini untuk mempertahankan negara tercinta daripada dijajah kali kedua sama ada penjajah fizikal, minda ataupun sosial.

Penjajahan fizikal mungkin sukar untuk berlaku, namun penjajahan minda dan sosial tidak mustahil sekiranya tiada sebarang langkah proaktif yang diambil oleh rakyat di negara ini.

Terdapat tiga langkah utama yang boleh dilaksanakan terutamanya oleh golongan muda agar kemerdekaan yang dinikmati hari ini akan berterusan pada masa hadapan.

Kebebasan negara ini daripada sebarang bentuk penjajah hendaklah dipertahankan agar generasi akan datang berpeluang untuk menikmati segala bentuk pembangunan serta kedamaian hasil daripada kemerdekaan yang diperoleh.

Untuk memastikan perkara seperti ini dapat dikekalkan, rakyat perlulah melaksanakan tiga perkara utama seperti menghayati sejarah negara, mengekalkan perpaduan dan penggunaan media sosial.

Sejarah memainkan peranan penting kepada seluruh rakyat untuk memberikan gambaran yang sebenarnya keadaan sebelum dan selepas kemerdekaan.

Sejarah

Sejarah juga mampu untuk memberikan keterangan bagaimanakah keadaan fizikal, sosial dan minda masyarakat sebelum merdeka.

Jika maklumat seperti ini dapat kekalkan generasi muda terutamanya akan lebih menghargai kemerdekaan.

Mereka akan menyedari bahawa untuk membolehkan rakyat di negara ini hidup dengan penuh ketenteraman adalah hasil daripada usaha bersepadu golongan terdahulu.

Sehubungan dengan itu, generasi muda terutamanya perlu memelihara kemerdekaan ini kerana ia bukan sesuatu perkara yang murah untuk diperoleh.

Jasa dan pengorbanan golongan terdahulu yang berkorban tenaga, wang dan masa untuk mencapai kemerdekaan patut dipuji.

Kemudian, media sosial seringkali dijadikan medium utama oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita palsu atau persepsi negatif terhadap sesebuah negara sama ada yang melibat seseorang individu ataupun negara tersebut.

Permainan persepsi dan berita palsu ini merupakan bentuk penjajahan masa kini yang berjaya mencapai matlamatnya.

Banyak negara di dunia ini hancur dan menghadapi pelbagai kekacauan disebabkan peranan media sosial.

Rakyat di negara ini khususnya golongan muda perlulah berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan informasi yang diperoleh daripada media sosial sama ada yang berkaitan dengan politik, sosial, ekonomi dan sebagainya.

Golongan muda seharusnya jangan membiarkan media sosial yang wujud pada ini menjajah pemikiran mereka. Sekiranya senario sebegini berlaku, mudah bagi mereka yang tidak bertanggungjawab melaksanakan agenda masing-masing.

Seterusnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang amat unik.

Biarpun negara ini didiami oleh tiga bangsa utama, Melayu, Cina dan India yang mempunyai perbezaan budaya, adat resam, agama serta bahasa, Malaysia masih mengekalkan keadaan yang penuh dengan kedamaian dan keharmonian.

Senario aman damai ini bukan berlaku secara sengaja. Suasana ini hanya dapat direalisasikan hasil kerja keras golongan terdahulu yang membudayakan perasaan hormat-menghormati dan berkasih sayang antara satu sama lain.

Kemerdekaan

Budaya seperti ini wajar diteruskan oleh generasi muda pada hari ini dan akan datang agar keharmonian serta kedamaian yang dikecapi hasil daripada kemerdekaan negara sejak 61 tahun lalu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Kesimpulannya, kemerdekaan yang dikecapi sejak 61 tahun yang lalu perlu dipertahan untuk kesejahteraan generasi akan datang.

Rakyat di negara ini khususnya golongan muda perlu mempertahankan status kemerdekaan ini sepanjang masa.

Mempertahankan kemerdekaan fizikal mungkin tidak akan menimbulkan sebarang masalah.

Namun, apa yang membimbangkan ialah mempertahankan negara ini daripada penjajahan sosial dan mental.

Walaupun ia mungkin sukar untuk direalisasikan, jika generasi yang ada pada hari ini mampu memahami sejarah negara dengan baik, mematuhi etika penggunaan media sosial dan mengekalkan perpaduan, pasti negara tercinta ini tidak akan mampu dijajah untuk kali kedua sama penjajahan fizikal, sosial ataupun minda.