Menyedari kemelut itu, DHS Hospitality Academy Sdn. Bhd. dan Kuliah Profesional & Pembelajaran Eksekutif (Speed), Universiti e Asia (AeU) menawarkan program hospitaliti untuk membuka peluang pekerjaan dalam industri perhotelan.

Kedua-dua pihak yang telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk tujuan tersebut optimis kerjasama itu dapat memacu belia kepada Program Kerjaya Vokasional Speed-DHS Hospitality dan Program Kerjaya Belia Sabah.

Pengarah Sumber Manusia dan Latihan DHS Hospitality Academy, Dr. Sri Kumar Sivakumaran berkata, program berkenaan terbuka kepada belia dan graduan yang belum mendapat sebarang pekerjaan.

Penempatan kerjaya

Katanya, pelajar akan diberi peluang menyertai program penempatan kerjaya dalam industri perhotelan di Singapura melalui program itu.

“Untuk belia, program ini menawarkan pelbagai kursus seperti pengurusan, hospitaliti dan kemahiran. Mereka akan belajar teori selama sebulan di Malaysia dan penempatan kerjaya di Singapura selama enam bulan dengan makanan, penginapan dan elaun sebanyak RM1,500 disediakan.

“Bagi Program Kerjaya Belia Sabah, kami akan menyediakan tiket penerbangan sehala dari Kota Kinabalu ke Singapura. Kelas teori selama sebulan itu akan diadakan di kampus AeU di Subang Jaya, Selangor serta di pusat pembelajaran yang ditetapkan di Sabah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pihaknya juga turut membangunkan Program Hospitaliti Profesional untuk graduan yang menganggur untuk mencari pekerjaan di Singapura.

“Tempoh program berkenaan ialah selama sebulan di Malaysia dan penempatan kerjaya selama 12 hingga 24 bulan di Singapura dengan gaji permulaan RM7,200. Program itu memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran interpersonal selain membangunkan disiplin dan kemajuan dalam kerjaya,” katanya.

Bagi program Hospitaliti Profesional katanya, penuntut perlu mencari penginapan mereka sendiri di Singapura manakala khidmat bantuan akan disediakan oleh rakan strategik DHS Hospitality Academy iaitu SG Quest Pte. Ltd. dan sesi temu duga akan dijalankan di Malaysia.

“Setakat ini, kami telah melatih 850 orang pelajar. Program ini bukan semata-mata untuk mereka yang tercicir di bangku persekolahan kerana kami mewujudkan peluang pekerjaan yang boleh memenuhi permintaan industri,” katanya.

Tambahnya, industri perhotelan memerlukan pekerja yang ramai dan pastinya aspek kemahiran, disiplin serta pengalaman diperlukan untuk menjamin tempat dalam sektor berkenaan, DHS Hospitality Academy sedar mengenai perkara itu dan kami sedia membantu mereka yang berminat.

“Dengan tenaga pengajar yang berpengalaman, kami boleh melatih dan membimbing individu dalam masa empat minggu termasuk penempatan yang terjamin di Singapura. Bukan itu sahaja, kami juga telah menjadi sumber pilihan utama untuk industri perhotelan di Singapura,” katanya.

Kumar berkata, selepas tempoh penempatan kerjaya atau industrial attchement di Singapura tamat untuk kedua-dua program berkenaan, pelajar perlu pulang kembali ke Malaysia untuk memenuhi peluang kerjaya yang sedia ada di dalam bidang berkenaan.