Produk-produk makanan daripada jenama itu sering menjadi sebutan bukan sahaja dihidangkan di atas kepal terbang tetapi ia turut dijual di pasar raya terkemuka.

Bagi mempelbagaikan lagi pilihan produk mereka kepada pengguna, Dewina Holdings Sdn. Bhd., (Dewina) yang menghasilkan produk-produk berjenama Brahim’s telah melancarkan tiga produk terbaharu nasi goreng.

Antara nasi goreng yang ditawarkan ialah Nasi Goreng Cina, Nasi Goreng Pedas dan Nasi Goreng Kicap.

Pengerusi Eksekutif Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, syarikat itu mula memperkenalkan produk nasi di Malaysia pada tahun 2010.

Jelasnya, untuk produk Nasi Briyani Ayam, pihaknya telah menerima Anugerah Emas bagi kategori Inovasi dari Institut Teknologi Makanan Malaysia.

“Atas pengiktirafan serta penerimaan yang baik daripada pengguna itu, kami juga telah mengeluarkan sembilan produk nasi yang segera dimakan merangkumi Nasi Goreng, Briyani dan Arab.

“Hari ini menjadi satu lagi sejarah kepada kami untuk memperkenalkan tiga produk terbaharu nasi goreng yang boleh disediakan dalam tempoh masa hanya satu minit,” jelasnya.

Ibrahim menambah, produk terbaharu yang dilancarkan itu ialah Nasi Goreng Cina, Nasi Goreng Kicap dan Nasi Goreng Pedas.

Dewina sentiasa mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan lagi produk di bawah jenama tersebut memandangkan label Brahim’s telah berada di pasaran hampir 30 tahun iaitu sejak tahun 1988.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak pasaran serta menghasilkan produk yang boleh memikat selera masyarakat.

“Produk Brahim’s juga ada yang dipasarkan sehingga ke luar negara dan produk ini sering menjadi pilihan orang ramai yang ingin melancong atau berurusan di luar negara, beriadah dalam hutan atau bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk memasak.

“Untuk produk nasi goreng yang baru dilancarkan ini, setiap pek dilengkapi dengan berat sekitar 180 gram dan mempunyai 300 kalori.

“Ia boleh dijadikan sebagai makanan sihat untuk golongan yang ingin menjaga tubuh badan,” katanya.