Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie berkata, buah-buahan musim panas seperti ceri, pic, aprikot, nektarin dan plum akan dijual di semua pasar raya itu di seluruh negara.

“Tesco komited untuk membawakan kepada pelanggan kami hanya yang terbaik dari seluruh dunia.

“Pelanggan Tesco mencari produk buah-buahan yang lebih berkualiti dan bernutrisi tinggi,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! selepas majlis pelancaran kempen Taste Australia di Tesco Manjalara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Perdagangan dan Pelaburan Negeri Victoria ke Asia Tenggara, Amelia Fyield dan Pakar Nutrisi, Marissa Parry.

Menurut Ritchie, sejak dahulu lagi, Australia mempunyai reputasi baik dalam pengeluaran produk berkualiti tinggi.

Katanya, negara Kanggaru itu mengamalkan langkah-langkah keselamatan makanan yang ketat dalam seluruh rantaian bekalannya.

“Para pelanggan kami boleh mendapatkan buah-buah ini di semua cawangan Tesco di seluruh negara.

“Buah-buah itu akan dijual dengan harga cukup berpatutan iaitu RM6.88 hingga RM88.80 mengikut jenis buah dan saiz pek,” katanya.

Sementara itu, Amelia memaklumkan, buah-buah dari Victoria terbukti cukup enak dan mempunyai khasiat tinggi kepada tubuh badan.

Jelasnya, setiap kali tibanya musim panas di Australia, buah-buahan tersebut akan mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia.