Ini kerana orang awam yang berkunjung ke lokasi itu bebas ke mana-mana sahaja tanpa diselubungi perasaan resah dan takut.

Jika dibandingkan dengan bandar-bandar lain di Indonesia, Kota Ternate yang didiami kira-kira 200,000 penduduk itu dilihat lebih selamat setelah mencatatkan kadar rekod jenayah yang rendah.

Ia membolehkan pelancong yang berkunjung ke sana sama ada atas urusan kerja mahupun bercuti berasa lebih tenang dan tidak risau sekiranya menjadi sasaran penjenayah seperti peragut.

Selain itu, Kota Ternate turut menawarkan pelbagai produk pelancongan yang boleh dinikmati oleh pelancong antaranya kawasan peninggalan sejarah, seni kulinari, lawatan berkonsep keagamaan serta aktiviti yang melibatkan alam semula jadi.

Menurut Ketua Masyarakat Sejarah Indonesia (MSI), Malut Syahril Muhammad, produk pelancongan berasaskan peninggalan sejarah di Kota Ternate digambarkan sebagai unik kerana mempunyai kaitan dengan Kesultanan Ternate.

“Di lokasi peninggalan sejarah Kesultanan Ternate terdapat satu barangan berharga iaitu mahkota berambut, meskipun ia dilihat sebagai pelik, namun barangan tersebut wujud dan masih ada hingga sekarang.

“Menariknya, rambut pada mahkota itu akan sentiasa tumbuh seperti di kepala manusia dan perlu dipotong mengikut waktu-waktu tertentu,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Malut memberitahu, selain mahkota berambut, peninggalan sejarah seperti benteng yang dibina oleh penjajah Eropah ketika berada di Ternate juga merupakan antara lokasi perlu dilawati pelancong.

“Terdapat sebanyak sembilan buah benteng di lokasi itu dan hampir kesemuanya masih berada dalam keadaan baik serta kukuh.

“Salah satu benteng yang dinamakan Oren turut digunakan sebagai pusat pengembangan budaya di Ternate,” jelasnya.

Makam tua

Sementara itu, salah seorang pelancong dari Bandung, Setiawan menjelaskan, Ternate begitu istimewa kerana mempunyai sembilan benteng bersejarah meskipun ia hanya merupakan sebuah pulau kecil.

“Saya sudah melawat beberapa kawasan yang mempunyai benteng sama ada di dalam dan luar negara tetapi semuanya tidak sebanyak seperti yang terdapat di Ternate,” ujarnya.

Selain itu, Kota Ternate turut menawarkan produk pelancongan berasaskan laut dengan menyajikan pemandangan indah terumbu karang dan aneka ikan berwarna-warni seperti yang terdapat di Pulau Sulamadaha serta Pantai Tobololo.

Pelancong yang ingin mencabar kekuatan fizikal mereka juga boleh menjalankan aktiviti mendaki di Gunung Gamalama yang mempunyai ketinggian kira-kira 1,700 meter dari permukaan laut.

Menariknya, setibanya di puncak gunung itu, pelancong akan menjumpai sebuah makam tua yang didakwa merupakan tempat persemadian wali-wali penyebar agama Islam di daerah Ternate.

Mereka yang menggemari konsep pelancongan berasaskan keagamaan juga boleh mengunjungi Masjid Kesultanan Ternate yang berusia lebih 500 tahun selain melawat gereja berusia 300 tahun.

Gereja itu telah dibangunkan oleh Portugis dengan kerjasama Klenteng Ibu Suri ketika kedua-dua pemerintah besar tersebut berada di Ternate.

Makanan tradisi

Pelancong yang mengunjungi Ternate juga disarankan untuk merasai sendiri makanan tradisi khas daerah itu atau lebih dikenali sebagai makanan kebun oleh masyarakat setempat.

Makanan kebun merupakan gabungan daripada bahan-bahan masakan seperti sengkuang, pisang, sagu dan ikan tuna yang dimasak bersama santan serta aneka rempah tradisional lain.

Selain itu, minuman air guraka yang dicampur bersama halia, gula, susu, kopi dan rempah-ratus juga merupakan antara hidangan tradisional yang perlu dinikmati jika berada di Ternate.

Salah seorang pelancong Jepun, Takhasi mengakui, dia sangat meminati makanan tradisional Ternate dan akan mengunjungi daerah itu pada masa akan datang bagi menikmati hidangan enak yang lain.

“Semua makanan di sini sangat sedap dan membangkitkan selera. Saya begitu meminati air guraka kerana rasa halia yang begitu menyegarkan selain dapat membuang angin serta dan antioksida,” ujarnya.

Menurut Ketua Dinas Kebudayaan dan Pelancongan Ternate, Samin Marsaoly, pihaknya telah menjalankan persiapan terperinci bagi menganjurkan Festival Kora-Kora pada penghujung bulan Disember ini.

“Festival yang diadakan bagi menarik kedatangan pelancong pada akhir tahun itu antara lain turut menawarkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan lumba perahu tradisional, pameran seni dan acara memancing.

“Kami turut menyediakan kemudahan penginapan sehingga bertaraf empat bintang bagi memastikan setiap pelancong berasa selesa dan menikmati percutian mereka dengan tenang.

“Jaringan pengangkutan turut ditambah baik seperti menambah jumlah penerbangan setiap hari antara Ternate dan Jakarta serta Ternate ke Surabaya,” jelasnya.