Mana tidaknya, cili yang digiling menggunakan cili padi itu dilakukan dengan begitu teliti bagi memastikan ia hancur dan sebati bersama bahan lain seperti bawang putih, kacang, garam dan gula.

Lebih istimewa, bahan-bahan tersebut digiling secara tradisional dengan menggunakan batu giling yang sering digunakan pada masa dahulu. Gepuk membawa maksud ketuk.

Menurut individu yang bertanggungjawab membawa jenama Ayam Gepuk Pak Gembus ke Malaysia, Mohd. Firdaus Abd. Wahid, 27, cili yang digiling untuk dijadikan sambal ayam gepuk itu merupakan menu penting dalam penyediaan makanan di kedainya.

“Kelainan sambal ini terletak pada tahap kepedasannya. Sesuai dengan tagline, Tentukan Sendiri Kepedasan Mu, pengunjung boleh memilih sendiri tahap kepedasan yang diinginkan sama ada tahap lima, 10 atau 15.

“Bagi yang pertama kali hendak cuba ayam gepuk ini, saya sarankan supaya pelanggan mula dengan tahap lima terlebih dulu. Bagaimana pun, jika mahu pedas lagi boleh tambah kemudian,” katanya ketika ditemui di cawangan terbaharu Ayam Gepuk Pak Gembus di Platinum Walk, Danau Kota, Kuala Lumpur.

Bagaimana pun, jika dilihat pada makanan yang dihidangkan, ia tidak ubah seperti ayam penyet yang sudah lama popular di Malaysia.

Perkara itu diakui Mohd. Firdaus namun menjelaskan, yang membezakan menu kedainya sudah tentu pada sambal dan rasa ayamnya.

Ayam yang dihidangkan itu menggunakan perapan istimewa yang dibawakan dari Indonesia. Ia diperap dengan menggunakan rempah-ratus dan bahan asli yang menjadi kegemaran bukan sahaja pelanggan di Indonesia malah di negara ini.

Jelas Mohd. Firdaus, dia membuat anjakan dalam hidupnya apabila terjun dalam industri makanan tanpa sebarang pengalaman.

Katanya, sebelum ini dia berpengalaman bertugas dalam bidang pengurusan di sebuah pusat kecergasan, namun dia sentiasa mencari peluang untuk memiliki sebuah perniagaan.

Nasib menyebelahinya apabila idea membawa dan membuka Ayam Gepuk Pak Gembus yang popular di Jogjakarta, Indonesia ke Malaysia membuahkan hasil.

Hanya dalam tempoh setahun lima bulan, kini perniagaan ayam gepuk yang dijalankan memiliki lebih 10 cawangan di sekitar Lembah Klang.

Antaranya di Gombak, Selayang, Keramat, Danau Kota, Rasta TTDI, Shah Alam, Sunway Mentari, Cheras, dan USJ.

“Pada masa akan datang saya ingin memperluaskan lagi perniagaan ini ke negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Saya juga dalam perancangan untuk menambah lagi francais Ayam Gepuk Pak Gembus,” katanya yang turut pernah bergelar atlet lumba mountain bike.