Dalam realiti sosio-politik Malaysia dewasa ini, institusi Mahkamah Syariah berhadapan dengan cabaran yang besar setelah 60 tahun kemerdekaan Malaysia. Cabaran itu lahir daripada pelbagai faktor antaranya kepesatan pembangunan politik dan ekonomi, perubahan landskap sosio-budaya, serta perkembangan teknologi maklumat yang telah mencorakkan kehidupan masyarakat masa kini.

Atas inisiatif berkenaan, Jabatan Undang-Undang Islam, Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan satu perbincangan mengenai Seminar Isu-Isu Mahkamah Syariah ke-13 di UIAM hari ini.

Seminar berkenan mengangkat tema Sebat ke tak Sebat sebagai isu utama dalam penguatkuasaan dan perlaksanaan undang-undang jenayah syariah di Malaysia. .

Pada seminar kali ini, terdapat lima pembentang berkemahiran dalam bidang masing-masing antaranya Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka, Datuk Rahimin Bani; Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Datuk Ibrahim Deris; Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Awang Armadajaya Pengiran Mahmud.

Dua lagi pembentang ialah Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang, Adnan Mamat dan wakil daripada Jabatan Jabatan Undang-Undang Islam AIKOL, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.

Sementara itu, ahli panel Seminar Isu-Isu Mahkamah Syariah ke-13 itu pula terdiri daripada Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali dan Penolong Kanan Kommisioner Bahagian Perundangan Jabatan Penjara Malaysia, Abdul Kadir Jailani Ismail.