Dengan peningkatan kadar sinaran UV setiap tahun khususnya di Malaysia, ia boleh mengancam lebih banyak masalah terutama pada kulit manusia yang memerlukan perlindungan secukupnya.

Memahami keperluan terhadap perlindungan sinaran UV, Kao (Malaysia) Sdn. Bhd. (Kao) memperkenalkan produk pelindung matahari terbaharu, Biore UV Aqua Rich yang dihasilkan daripada formula micro UV defense SPF50+ PA++++ pertama di dunia.

Menurut Presiden Kao Malaysia, Masaki Fujiwara, produk itu merupakan hasil daripada penyelidikan dan soal selidik membabitkan perlindungan matahari yang diperlukan oleh golongan wanita.

“Kita melihat pendedahan sinaran UV telah memberikan kesan buruk kepada kulit manusia bukan sahaja memberikan pigmentasi dan lecur matahari tetapi juga membuatkan kulit nampak tua daripada usia.

“Hal ini telah membuah ilham buat kami untuk menyelidik keperluan perlindungan harian kulit dan pada masa sama memahami keinginan pengguna terhadap produk pelindung matahari yang mereka inginkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Biore UV Aqua Rich di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rumusan terbaharu

Tambahnya, dengan teknologi perlindungan mikro yang dibangunkan sejak tujuh tahun lalu, ia menjadi solusi pelindung matahari yang ideal kerana tekstur air memberi pelindungan menyeluruh kepada kulit.

Jelasnya lagi, rumusan terbaharu tersebut melindungi secara menyeluruh sehingga ke liang-liang kulit untuk perlindungan UV harian. Kapsul anti-UV 0.2 mikro mililiternya juga mampu meliputi kawasan kulit yang tidak rata menjadikan ia pelindung kulit mikroskopik.

“Selain itu, kita juga membuat kajian berhubung tekstur pelindung matahari yang rata-ratanya kurang digemari oleh pengguna. Oleh yang demikian, kita mengetengahkan tekstur seakan-akan air yang tidak melekit dengan asen penghidratan.

“Kajian menyeluruh ini menjadikan produk ini lebih praktikal untuk kegunaan harian selain ia sesuai buat semua jenis kulit pengguna di seluruh negara. Produk ini boleh didapati di rangkaian wakil pengedar iaitu Watson, Guardian dan Aeon Wellness,” ujarnya.