Menurut Pengurus Besar Setia Eco Templer, Dianne Chan, SP Setia kali ini tampil sebagai penaja utama bagi acara tahunan yang gilang-gemilang itu.

"Kami amat teruja untuk mengumumkan pemilik hartanah kami bagi tahun 2017 akan ditawarkan tiket khas untuk menonton persembahan tersebut secara langsung.

"Bagi pemilik hartanah tahun sebelum ini, mereka turut berpeluang untuk menyaksikan secara percuma menerusi peraduan istimewa di laman Facebook iaitu Pertandingan Facebook Setia Citizen.

"Selain itu, bagi pengikut setia Facebook SP Setia, mereka ditawarkan diskaun istimewa sehingga 15 peratus apabila membeli tiket secara online. Mereka hanya perlu masukkan Kod Diskaun Setia ketika membeli," katanya menerusi satu kenyataan media baru-baru ini.

Bahkan bukan itu sahaja, SP Setia turut menaja sebanyak 100 keping tiket untuk Sekolah Penyayang Yayasan Setia Johor dan Selangor.

Dianne berkata, pihaknya membawa pelajar dan guru menyaksikan persembahan bertaraf antarabangsa itu bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang terbabit dengan program Sekolah Penyayang Yayasan Setia sejak ia diperkenalkan pada 2015.

Pelajar yang terlibat ialah 80 orang dari Johor manakala bakinya dari Selangor. Beberapa orang guru dan penjaga juga akan menemani mereka menyaksikan persembahan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Yayasan Setia, Nur Davina Skymmar berkata, peluang menyaksikan persembahan tersebut adalah terbuka kepada pelajar pelbagai latar belakang.