Dengan jumlah pelajar yang ramai maka jenis kenderaan yang menjadi pilihan hendaklah bersesuaian mengikut keperluan selain kos berpatutan.

Faktor itu menyebabkan terdapat pengendali pusat tahfiz memilih van terpakai atas faktor harga walaupun kenderaan dalam keadaan uzur dan berusia.

Demi memberikan pilihan yang baik, syarikat Amber Dual Sdn. Bhd. (Amber Dual) menawarkan program penjualan van menerusi pakej istimewa khusus buat pusat tahfiz.

Amber Dual ialah pengedar eksklusif jenama BAIC di Malaysia dan van jenis AD 009 adalah model pemasangan tempatan pertama dibawa masuk ke negara ini.

BAIC merupakan antara pengeluar utama kenderaan elektrik di dunia dan berpangkalan di China.

Pengurus syarikat, Idzham Ismail berkata, pengenalan Program Kemudahan Sewa Beli Van BAIC itu hasil kolaborasi bersama Yayasan Tahfiz An Nisaa, Hulu Langat, Selangor.

Di bawah kumpulan Yayasan Tahfiz An Nisaa, sekiranya mendapat sambutan, pihak Amber Dual juga bercadang untuk memperluaskan lagi skim program tersebut kepada pusat tahfiz di seluruh negara.

“Program tersebut baru sahaja diperkenalkan dan ia memberi kemudahan sewa beli kepada mana-mana pusat tahfiz di seluruh negara yang memerlukan kemudahan tersebut.

Dua jenis

“Terdapat dua jenis van BAIC yang ditawarkan iaitu diesel dan petrol. Menariknya, harga yang ditawarkan adalah bermula serendah RM100,000 seunit berbanding harga asal iaitu RM114,947,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Variasi van petrol 2.7cc menggunakan enjin teknologi Toyota manakala van enjin diesel 2.8cc Turbo pula menggunakan enjin teknologi Isuzu.

Menerusi program penjualan ini, Amber Dual yakin dapat melonjakkan jualan kenderaan tersebut mencecah angka 100 buah pada tahun hadapan.

Menurut Idzham, pelbagai tawaran dan promosi menarik turut menanti bakal pembeli menerusi program yang julung-julung kali diperkenalkan itu.

“Buat masa ini, kami membuka tawaran menarik kepada lapan pembeli terawal van BAIC jenis petrol AD 009 yang dilengkapi spesifikasi moon roof dan skrin pemain cakera video digital (DVD) bersaiz 15.4 inci secara percuma.

“Kelebihan lain menerusi program dan kemudahan yang kami tawarkan adalah jaminan selama setahun atau jarak perjalanan 60,000 kilometer (km) selain kos penyelenggaraan secara percuma sebanyak tiga kali pada 1,000km, 5,000km dan 10,000km,” ujarnya.

Jelasnya lagi, syarikat bukan sahaja membantu pelanggan terhadap urusan sewa beli jualan semata-mata, namun turut menyediakan perkhidmatan bagi proses mendapatkan pembiayaan kenderaan daripada pihak bank.

Bagi memastikan pelanggan sentiasa diberikan perhatian, pusat servis bertauliah dan alat ganti yang mudah diperoleh sentiasa menjadi keutamaan pihak syarikat.

Katanya, antara ciri-ciri unik van tersebut adalah dilengkapi dengan kapasiti 15 dan 16 tempat duduk termasuk pemandu, tingkap elektrik, ruang dalaman yang selesa serta luas, penggunaan bahan api yang efisien selain menggunakan teknologi enjin Isuzu dan Toyota yang berkuasa tinggi.

Tahan lasak

Seperti diketahui umum, enjin keluaran Toyota dan Isuzu sememangnya tahan lasak selain kos senggaraan yang ekonomi.
Bumbung yang tinggi dan bukaan pintu gelongsor yang lebih luas serta dilengkapi dengan sistem brek antikunci (ABS) dengan pengagihan daya brek elektronik (EBD), kerusi boleh laras, skrin sesentuh audio, stering kuasa, sistem penyejuk yang efisien serta banyak lagi.

Sementara itu, Pengarah Maahad Tahfiz Az Zahrah Hulu Langat, Ashri Latehh berkata, program pembiayaan mudah yang disediakan oleh syarikat Amber Dual bagi membeli van Baic memberi kelegaan kepada pihaknya.

Katanya, dengan sumber kewangan yang terhad tetapi pihak pengurusan pusat tahfiz berkenaan mampu memiliki sebuah van baharu secara sewa beli.

“Selain harga, khidmat lepas jualan dan jaminan yang disediakan oleh Amber Dual memudahkan pihak kami yang kurang mahir dalam soal senggaraan kenderaan.” ujarnya.

Pihak tahfiz yang ingin mendapatkan maklumat lanjut pula boleh menghubungi talian 018-2520 259 dan 03-7726 1230.