Ada sebahagian besar daripada masyarakat memberi sokongan padu kepada isu tersebut dan tidak kurang yang mengecam tindakan Cikgu Azizan. Sebagai seorang guru, Cikgu Azizan mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk memastikan pelajar di sekolah tersebut mampu menjadi aset penting negara sebagai pewaris kepada generasi akan datang.

Apa yang beliau lakukan bukan satu perkara baharu di negara ini. Perkara sedemikian telah pernah dilaksanakan dalam negara ini sejak sekian lama terutamanya pada zaman 70-an sehinggalah 80-an.

Ketika itu guru dan ibu bapa sangat akrab hubungan mereka. Sikap saling mempercayai antara satu sama lain bagi kedua-dua belah pihak menyebabkan pelajar tidak berani melakukan perkara yang melanggar peraturan sekolah daripada sekecil-kecil peraturan sehinggalah kepada peraturan yang besar.

Namun semuanya kini tinggal sejarah. Guru sudah tidak lagi dihormati seperti yang pernah mereka terima suatu ketika dahulu. Profesion seorang guru tidak lagi dianggap mulia.

Akibatnya, guru-guru hari ini sudah tidak lagi dihormati. Malah apa yang lebih menyedihkan lagi ialah guru-guru ini seringkali dikecam dengan pelbagai tuduhan oleh masyarakat sama ada daripada ibu bapa ataupun pelajar itu sendiri.

Ironinya ialah kejadian seperti ini hanya berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu. Ia jarang berlaku kepada masyarakat Cina dan India.

Penulis merasakan, sudah tiba masanya masyarakat di negara ini, khususnya masyarakat Melayu untuk kembali kepada realiti. Sama ada ini disedari atau tidak, peranan guru untuk melahirkan modal insan negara memang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Tanpa pengorbanan guru tidak ada manusia di dunia ini yang berjaya dalam kehidupan mereka baik di dunia ataupun di akhirat. Demi kelangsungan dan kecemerlangan anak bangsa, masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu perlulah mengembalikan kepercayaan kepada guru agar mereka mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang demi untuk anak bangsa yang tercinta.

Berikut tiga sebab utama mengapa penulis mengajak masyarakat di negara ini untuk memberi kepercayaan kepada guru:

1) Guru penyumbang kepada kejayaan kita pada hari ini

Tanpa jasa dan pengorbanan seorang guru tidak mungkin seseorang itu mendapat tempat yang istimewa dalam masyarakat. Seorang ketua pengarah sebuah syarikat besar sekalipun adalah hasil pengorbanan seorang guru yang mendidik dan melatih sehingga individu yang berkenaan berjaya memegang jawatan tersebut.

Justeru, jangan mudah untuk berlagak sombong dan angkuh apabila kita sudah berada di atas dan melihat segala tindakan guru semasa mendidik sebagai kolot dan ketinggalan zaman. Ingatlah, siapa kita pada hari ini adalah hasil pengorbanan dan didikan insan yang bergelar guru.

2) Guru sebagai pembangun masyarakat

Guru juga merupakan ejen kepada pembangun masyarakat. Semenjak merdeka telah lahir ratusan ribu anak didik seorang guru yang telah berjaya menjadi orang berpangkat dan berkuasa untuk membuat keputusan.

Ramai dalam kalangan mereka yang berasal dari kampung kebanyakannya datang daripada keluarga miskin, namun hasil didikan seorang guru mereka mampu ditransformasikan menjadi seorang insan yang berjaya seterusnya mampu mengubah landskap kehidupan keluarga mereka.

Tanpa guru, senario sebegini tidak mustahil akan berlaku dalam kehidupan mereka.

3) Guru sebagai pelita dalam kegelapan

Ramai dalam kalangan ahli masyarakat yang dahulunya buta huruf.

Namun dengan jasa dan tunjuk ajar serta didikan guru masyarakat menjadi celik huruf. Ini merupakan pelita hidup yang mampu menerangi kehidupan untuk selama-lamanya. Guru tidak pernah mengharapkan wang ringgit daripada pengorbanan mereka. Apa yang lebih penting ialah melihat anak didik mereka berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Konklusinya, pengorbanan seorang guru tidak boleh dipandang remeh.

Masyarakat seharusnya memberikan satu penghormatan yang tinggi kepada kerjaya yang amat mulia ini.

Legasi penghormatan yang diberikan kepada seseorang satu ketika dahulu perlu dikembalikan semua, agar anak didik pada hari ini mendapat keberkatan yang sewajarnya.

Seorang guru perlu dilihat seperti cahaya dalam kegelapan. Justeru sebagai ahli masyarakat, marilah kita menghormati dan menghargai jasa seorang guru.

Pada masa sama memberi semangat dan motivasi kepada mereka agar dapat terus menyumbang serta berkorban untuk memastikan generasi muda pada hari ini mampu mewarisi tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan dengan lebih cemerlang. Ingatlah, tanpa guru siapalah kita.