Pepatah ini sebenarnya memberikan peringatan kepada setiap ahli masyarakat yang bergelar anak agar dapat memastikan senario sedemikian tidak berlaku dalam kehidupan mereka.

Adalah menjadi suatu perkara yang amat menyedihkan sekiranya ada anak yang membiarkan kehidupan ibu bapa mereka melarat dan merana sedangkan mereka hidup dengan penuh kemewahan serta keseronokan.

Setiap ahli masyarakat khususnya anak seharusnya sedar bahawa ibu bapa bukanlah seumpama benda yang hanya digunakan bila perlu dan dibuang apabila sudah lama dan tidak berfungsi lagi.

Ibu bapa merupakan aset penting kepada kehidupan setiap anak tanpa mengira sama ada mereka sudah mempunyai kedudukan atau sebaliknya.

Dalam agama Islam, kedudukan ibu bapa teramat tinggi di sisi Allah sehinggakan keberkatan kehidupan seorang anak tidak akan mampu diperoleh tanpa mendapat restu dan keredaan daripada orang tua mereka.

Walaupun ramai dalam kalangan mereka sedar betapa tingginya kedudukan ibu bapa dalam kehidupan, masih ramai lagi dalam kalangan anak-anak masa kini yang mengambil sikap tidak peduli terhadap kebajikan orang tua masing-masing.

Justeru, ramai dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak terpaksa hidup melarat dalam keadaan daif disebabkan sikap anak-anak yang tidak bertanggungjawab.

Oleh yang demikian, semasa ibu bapa masih berada bersama-sama kita di dunia ini, anak-anak perlulah mengambil tindakan segera agar kehidupan mereka akan mendapat keberkatan.

Bertanya khabar

Sebagai tanda prihatin dan tanggungjawab, adalah menjadi satu kewajipan kepada setiap anak untuk bertanyakan khabar kepada ibu bapa masing-masing.

Dalam dunia yang serba moden dan canggih ini, pastinya usaha sebegini begitu mudah untuk dilaksanakan.

Dengan adanya kemudahan telefon pintar, pastinya usaha sedemikian dapat dilakukan pada bila-bila masa tanpa mengira tempat.

Ibu bapa akan merasa teramat gembira apabila menerima panggilan telefon daripada anak mereka.

Seringkali suara daripada anak sudah mampu mengubah seribu satu macam perkara kepada diri mereka seperti merasa sihat daripada sakit, meningkatkan selera makan dan sebagainya.

Adalah menjadi suatu perkara yang amat ironi sekiranya ada dalam kalangan anak-anak yang merasakan tidak sempat untuk berbuat demikian walaupun mempunyai kemudahan di tangan mereka sepanjang masa.

Masa untuk membuat panggilan ajaib ini bukan lah memakan masa berjam-jam kerana ia hanya mengambil masa kurang daripada lima minit, tetapi impaknya terlalu besar kepada kegembiraan dan keceriaan ibu bapa yang terlibat.

Sering menziarah

Budaya menziarahi ibu bapa secara konsisten mampu menimbulkan kegembiraan dalam kalangan ibu bapa memandangkan kepulangan anak-anak sentiasa ditunggu.

Ramai dalam kalangan ibu bapa yang sanggup membuat pelbagai persiapan untuk menerima kepulangan anak masing-masing walaupun mereka sudah tua dan uzur.

Ibu bapa sanggup melakukan semua ini kerana mereka terlalu gembira dengan kepulangan anak tersayang dan ingin membuat yang terbaik untuk mereka.

Sebagai anak, janganlah menjadikan kesibukan kerja sebagai alasan untuk tidak dapat pulang menziarahi ibu bapa.

Kepada anak yang mempunyai sikap sebegini, mereka seharusnya ingat bahawa ibu bapa tidak pernah mengeluh saat memberi makan, memandikan dan sebagainya.

Ketika anak-anak masih kecil, ibu bapa terpaksa memerah keringat mereka demi memastikan kebajikan insan kecil mereka terjaga.

Oleh yang demikian, buatlah perancangan yang baik agar setiap bulan kita dapat menziarahi ibu bapa masing-masing.

Selain daripada itu, anak-anak juga perlulah menghantar wang perbelanjaan kepada ibu bapa walaupun ada dalam kalangan mereka tidak memerlukannya.

Bukanlah jumlah yang menjadi keutamaan tetapi ingatan ikhlas daripada anak terhadap segala pengorbanan yang telah diberikan oleh ibu bapa mereka sebelum ini.

Rumusan

Ibu bapa merupakan aset yang tersangat penting kepada kebahagiaan dan keharmonian kehidupan seorang anak.

Mereka telah bersusah payah menjaga dan mendidik kita daripada kecil sehinggalah berjaya dalam kerjaya masing-masing. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab utama kepada setiap anak agar kehidupan ibu bapa semasa tua sentiasa dijaga sama seperti mana mereka menjaga kita semenjak kecil.

Setiap anak seharusnya ingat bahawa kehidupan mereka tidak akan sempurna tanpa mendapat keredaan daripada ibu bapa.

Justeru, adalah menjadi satu perkara yang sangat tragis sekiranya ada dalam kalangan anak-anak yang gagal untuk memastikan kebajikan ibu bapa mereka terjaga.

Sebagai anak, mereka seharusnya sedar bahawa di antara tugas utama ialah memastikan kebajikan ibu bapa mereka sentiasa terjaga sepanjang masa.

Semoga setiap anak di negara tercinta ini mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ibu bapa mereka sentiasa gembira, aman dan selesa sepanjang masa.

Kolumunis : Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran