Walaupun kita tahu tiada sesiapa pun yang mampu melawan kehendak takdir, tetapi kepulangannya itu memeritkan hati setiap rakyat Malaysia.

Sepanjang kerjayanya, seperti juga anggota JBPM yang lain, tugasnya hanyalah menyelamatkan nyawa orang lain tanpa mengira siapa mereka.

Bagaimanapun, dalam tragedi di sebuah kuil di Subang Jaya itu, kebaikan mereka tidak dipandang oleh para perusuh.

Mereka dianggap musuh seperti mana perusuh melihat sesiapa sahaja sebagai musuh juga.

Apa yang kita pelajari?

Pertamanya dalam segala konflik yang berlaku, khususnya dalam kes pertelagahan kaum, semua penjawat awam tidak lagi boleh menganggap bahawa mereka adalah manusia yang dihormati lagi.

Ia terpakai kepada sesiapa sahaja. Hal ini kerana dalam keadaan tegang, biasanya kumpulan perusuh tidak lagi mempunyai ketua yang mengawal mereka.

Setiap orang bertindak mengikut emosi dan rasa marah semata-mata.

Sesiapa sahaja akan terarah untuk melakukan sesuatu tanpa pertimbangan yang waras, manakala mereka yang mengikut pula melakukan apa sahaja yang diarah tanpa mengambil kira sama ada ia akan berakhir dengan tragedi atau tidak.

Hal ini berlaku di mana-mana sahaja contohnya dalam perlawanan bola sepak.

Kawal dari mula

Kita selalu melihat kumpulan hooligan yang memulakan provokasi dan akhirnya akan menyebabkan setiap yang lain turut melakukan hal sama.

Mengapa keadaan seperti ini berlaku?

Biasanya manusia ini akan memisahkan diri mereka sebagai ‘orang dalam’ dan ‘orang luar’. Ia adalah reaksi automatik dalam situasi yang tegang.

Misalnya, katakan anda ialah peminat pasukan A, kemudian terperangkap dengan pertelagahan penyokong antara pasukan A dan B. Secara automatiknya, sebagai penyokong pasukan A, anda terangsang untuk melakukan hal yang sama seperti yang dilakukan oleh ahli pasukan anda juga. Anda juga akan melihat bahawa sesiapa sahaja daripada kumpulan B sebagai musuh anda tanpa mengira sama ada mereka bersalah atau tidak.

Pada masa itu juga kebiasaannya tidak ada individu yang dilihat sebagai neutral.

Dalam kes rusuhan kuil tadi, Muhammad Adib mungkin telah dilihat sebagai ahli bagi kumpulan etnik tertentu dan bukan lagi sebagai individu neutral yang menjalankan tugasnya sahaja.

Keduanya, apa sahaja perselisihan kaum yang berlaku sekalipun kecil tidak lagi boleh dianggap sebagai konflik biasa.

Perkara itu mestilah dikawal sejak dari mula lagi. Manusia secara semula jadinya akan mengelompokkan diri dalam empat bentuk utama iaitu etnik, budaya, agama dan jantina.

Bagaimanapun, dalam konteks Malaysia yang secara umumnya setiap etnik menganut agama yang khusus, kombinasi etnik-agama ini telah menjadikan setiap konflik yang berlaku akan melibatkan identifikasi sukar dijelaskan.

Misalnya, apabila individu daripada kaum A dihina, ia boleh dianggap sebagai penghinaan agama. Sedangkan penghinaan tadi mungkin tak berkaitan pun dengan agama.

Dalam kes yang lain pula, apabila individu daripada agama tertentu yang dijadikan subjek perselisihan, ia mungkin akan berakhir dengan konflik bangsa pula.

SOP lebih ketat

Kita semua tidak lagi boleh berkata bahawa kita ini tidak mempunyai sebarang krisis.

Hakikatnya, kita masih lagi gagal mewujudkan bangsa Malaysia. Kita sebenarnya hidup terpisah antara satu sama lain secara psikologinya sahaja.

Kita mungkin bergaul dan berinteraksi dalam kehidupan seharian, tetapi secara psikologinya semua orang tidak pernah beranggapan bahawa mereka adalah daripada kumpulan yang sama.

Ketiga, dalam banyak kes rusuhan yang berlaku, ia akan dimulai dengan khabar angin yang disebarkan daripada mulut ke mulut dan biasanya tidak tersiar di mana-mana saluran rasmi.

Semakin rahsia sesuatu perkara itu, makin ramai yang akan percaya kononnya hal itu benar-benar berlaku.

Kebiasaannya khabar angin akan muncul dalam dua situasi.

Pertama adalah sebelum tercetusnya tragedi, khabar angin akan tersebar untuk menghasut masyarakat untuk pergi ke destinasi yang akan menjadi tempat pertelagahan tadi.

Apabila orang ramai telah mula terkumpul atau kejadian yang diuar-uarkan tadi telah berlaku, akan muncul sekali lagi penyebaran khabar angin untuk menjadikan tragedi pertama tadi merebak dan membesar.

Disebabkan itu, kepada agensi yang terlibat dengan tragedi perkauman seperti ini harus lebih berhati-hati.

Mungkin sudah tiba masanya untuk setiap pasukan penyelamat serta kementerian yang berkaitan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat semasa menangani hal-hal sebegitu.

Walaupun tugas mereka sebagai penyelamat nyawa manusia dianggap sangat mulia, tetapi dalam keadaan konflik tidak semua melihat mereka sebagai insan budiman, malah mungkin akan dijadikan mangsa kemarahan.

Bagi pihak keluarga Muhammad Adib dan rakan sekerjanya yang mungkin sedang bersedih dengan kehilangan insan mulia itu, percayalah bahawa Allahyarham seorang wira yang tugasnya menyelamat sesiapa sahaja, termasuklah mereka yang mungkin sedang melihatnya sebagai seorang musuh.