Hasil pemerhatiannya, masyarakat di negara ini kurang menjadikan surah tersebut sebagai amalan harian berbanding surah-surah lain.

Antara surah amalan popular bagi kebanyakan masyarakat tempatan beragama Islam ketika ini ialah surah-surah lazim dan surah Yasin.

Sedangkan menurut Zahazan, terdapat beberapa kepentingan yang wajar dititikberatkan oleh masyarakat berbekalkan intipati dalam surah al-Kahfi.

Bahkan, individu yang mengamalkan surah al-Kahfi akan diselamatkan oleh Allah daripada fitnah Dajjal.

Melihat terdapat kelompongan pada permasalahan itu, Zahazan membawakan buku nukilan terbarunya berjudul Nur Dari Gua iaitu tafsir dan tadabbur surah al-Kahfi.

“Surah al-Kahfi ini sangat digalakkan oleh Islam untuk dibaca sebagai amalan pada setiap hari Jumaat.

“Tujuan amalan itu ialah memberi nilai tambah kepada umat Islam selain dijadikan bimbingan dan panduan dalam kehidupan seharian.

“Surah ini bukan sahaja menceritakan realiti kehidupan sebenar tetapi membuktikan bahawa setiap yang dicatat dalam al-Quran itu bukanlah suatu kebetulan sebaliknya menjelaskan lagi setiap kebenaran,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Intipati

Nur Dari Gua menerangkan mengenai intipati surah al-Kahfi yang menceritakan tentang fitnah atau ujian yang sangat besar serta dahsyat di sebalik empat buah kisah utama.

Cerita utama yang dikisahkan dalam surah tersebut ialah kisah penghuni gua, si pemilik kebun, nabi Musa dan Khidir serta kisah Zulqarnain, Yakjuj dan Makjuj.

Empat kisah itu mempunyai banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar.

Kesemuanya mempunyai satu tema yang sama iaitu pertembungan antara iman dengan keduniaan.

Kisah pertama iaitu penghuni gua mengisahkan tentang sekumpulan pemuda atau Ashab al-Kahfi yang diuji keimanan sehingga berlindung dalam gua.

Kisah itu menuntut kita agar bersahabat dengan orang soleh dan saling membimbing antara satu dengan lain dalam memelihara akidah serta iman kepada Allah.

Kisah si pemilik-pemilik kebun pula mengenai ujian dan fitnah harta benda yang menimpa mereka.

Ia mengingatkan kita kepada kehidupan dunia yang akan musnah dan hari akhirat yang kekal selamanya.

Kisah ketiga iaitu nabi Musa dan Khidir berkisar tentang ujian serta fitnah ilmu.

Ia mengingatkan kita agar sentiasa mengamalkan sikap tawaduk dan rendah diri walaupun dikurniakan ilmu yang tidak terhingga.

Kisah terakhir ialah tentang Zulqarnain yang berhadapan ujian dan fitnah berkaitan kuasa.

Zulqarnain yang terkenal dengan kepimpinan itu mengingatkan kita bahawa kepentingan sikap tawaduk dan mengakui kekuasaan hanyalah daripada Allah.

“Menariknya, kesemua yang dinyatakan itu merupakan fitnah serta ujian yang dihadapi oleh manusia sepanjang zaman.

“Disebabkan itu, umat Islam dituntut mengamalkan bacaan surah ini pada setiap hari Jumaat.

“Selain itu, tadabbur dan ambil iktibar daripada kisah itu sebagai langkah memelihara diri, mengukuhkan iman dan berjaga-jaga dalam menghadapi ujian serta fitnah dunia,” jelasnya.