Ibadah korban ialah menyembelih binatang korban seperti lembu, unta atau kambing yang dilaksanakan untuk mengingati kisah pengorbanan dan perjuangan Nabi Ibrahim AS. Rakyat Malaysia juga tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan ibadah tersebut saban tahun kerana ia adalah satu sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut.

Dalam menunaikan harapan dan niat umat Islam di negara ini, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) turut melaksanakan ibadah korban dalam dan luar negara secara hukum wakalah iaitu berwakil.

Ketua Pengarah YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin berkata, pihaknya memulakan program ibadah korban sejak tahun 2007.

Tabung

Jelasnya, program tersebut berterusan sehingga ke hari ini.

“Ibadah korban ini dilaksanakan selepas kami mewujudkan sekretariat Ar-Rahnu YaPEIM serantau yang melibatkan tujuh negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Kemboja, Singapura, Timur Leste dan Thailand.

“Sambutan yang diterima begitu memberangsangkan. Pada tahun 2011, kami menubuhkan Tabung Ibadah Qurban YaPEIM yang dikendalikan oleh Koperasi Ibadah Qurban YaPEIM Berhad,” jelasnya.

Tujuan utama YaPEIM memperkenalkan program tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran dan penyertaan masyarakat dalam pelaksanaan ibadah korban secara terancang.

Selain itu, ia juga menyediakan kemudahan tabungan bayaran korban secara ansuran serta melaksana dan mengagihkan daging korban secara terancang untuk manfaat yang optimum kepada masyarakat Muslim di negara serantau.

Abibullah menjelaskan, melalui Tabung Ibadah Qurban YaPEIM, ia membolehkan masyarakat negara ini melaksanakan ibadah korban.

“Melalui tabung ini, mereka boleh menyimpan awal dan melakukan pemotongan gaji secara bulanan. Dengan ini, ia tidak membebankan mereka untuk membayar sekali gus apabila tiba musim korban.

“Ada juga jumlah simpanan individu dalam tabung ini yang membolehkannya mendapatkan jumlah tujuh bahagian iaitu bersamaan seekor lembu untuk ibadah korban,” jelasnya.

Didik anak-anak

Tambahnya, melalui tabung ini juga, kanak-kanak boleh melaksanakan ibadah korban melalui Tabung Ibadah Qurban YaPEIM Junior (Taqy Junior)

Kanak-kanak hanya perlu membuka akaun Taqy Junior dan hasil tabungan duit syiling yang mereka simpan boleh digunakan untuk melaksanakan ibadah korban apabila mencukupi.

Akaun ini boleh dibuka di 212 cawangan Ar-Rahnu YaPEIM.

“Melalui Taqy Junior ini, ia akan mendidik kanak-kanak untuk bersama-sama melaksanakan ibadah korban dan tidak mengharapkan orang tua semata-mata,” jelas Abibullah.

Dalam pada itu, Abibullah menjelaskan, sejak YaPEIM melaksanakan program korban tersebut, ia telah memberi manfaat kepada lebih 155,000 orang di negara-negara yang terlibat.

Jelasnya, untuk tahun ini, jumlah lembu yang dikorbankan adalah sebanyak 285 ekor di empat buah negara yang terlibat iaitu Malaysia, Indonesia, Kemboja serta Vietnam.

“Mereka yang melakukan ibadah ini boleh memilih untuk melakukan korban di negara mana. Ada yang memilih untuk melakukan ibadah korban di Kemboja.

“Di Kemboja misalnya, harga lembu lebih murah dan satu bahagian di Malaysia bersamaan dua bahagian di Kemboja,” jelasnya.

Tambahnya, dia menyedari harga untuk melakukan ibadah korban ini meningkat saban tahun terutamanya di Malaysia.

Bagi mengatasi masalah itu, YaPEIM mempunyai perancangan pada masa hadapan untuk mewujudkan pusat penternakan dan pengumpulan bagi haiwan yang akan dijadikan ibadah korban.

Di Kemboja misalnya, YaPEIM sedang melakukan perbincangan untuk bekerjasama dengan mereka yang terlibat menguruskan pusat tersebut.

“Langkah ini dilakukan supaya kami dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk melakukan ibadah korban di Kemboja. Pada masa yang sama, ia boleh mendapatkan harga lembu yang boleh murah.

“Selain itu, kami juga mempunyai perancangan untuk membuka pusat ternakan dan pengumpulan haiwan ini di sempadan negara antara Thailand serta Kemboja.

“Haiwan ini kemudiannya akan dibawa masuk ke Malaysia dan harga untuk melakukan ibadah ini mungkin boleh dikurangkan,” kata Abibullah.