Menerusi penjenamaan semula itu, produk yang sebelum ini dikenali sebagai Serai Wangi AFY Haniff (Serai Wangi) akan ditukar kepada Swipel AFY Haniff (Swipel) bermula bulan ini.

Terdapat 11 produk yang terlibat dapat penjenamaan semula itu. Antaranya, semburan penghalau serangga dan pencuci lantai, ubat anti tikus dan lipas serta lilin dan minyak pelita penghalau serangga.

Pengurus Operasi AFY Haniff, Amirul Firdaus Yunus berkata, penjenamaan semula itu perlu dilakukan bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan pengguna produk Serai Wangi.

Jelasnya, pihaknya mendapati jenama Serai Wangi diguna dengan banyaknya oleh pengeluar produk lain dalam pasaran sehingga menyukarkan pengguna mengenal pasti produk asli keluaran AFY Haniff.

“Kami telah berusaha untuk mendapat hak intelek terhadap Serai Wangi, namun jenama ini telah ditolak kerana perkataan berkenaan terdapat dalam kamus. Jadi, jenama ini tidak eksklusif kepada AFY Haniff sebagai pengeluar pertama produk berkenaan.

“Justeru, kami mengambil keputusan untuk penjenamaan semula beberapa produk yang menggunakan jenama Serai Wangi kepada Swipel,” katanya ketika ditemui K2 di pejabatnya baru-baru ini.

Swipel diambil daripada singkatan gabungan perkataan bahasa Inggeris iaitu Serai Wangi Insect Repellent (Serai Wang penghalau serangga) yang merupakan produk utama AFY Haniff.

Produk AFY Haniff telah dipasarkan ke lebih 1,600 buah pasar raya di negara ini dan negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

Menurut Amirul Firdaus, penjenamaan semula itu juga diharap dapat membantu pihaknya memperluaskan dan mempromosikan produk AFY Haniff di dalam dan luar negara.

Kedai serbaneka

Tambahnya, masyarakat luar terutamanya di Asia Barat dan Eropah mengalami kesukaran untuk menyebut perkataan serai wangi yang merupakan sejenis rumput berbau wangi dalam bahasa Melayu.

“Penjenamaan semula ini merupakan salah satu usaha kami untuk membawa produk kami ke lebih banyak negara pada masa akan datang.

“Perkataan Swipel adalah lebih mudah dan ringkas untuk disebut. Ini sedikit sebanyak dapat memudahkan kami memperkenalkan jenama ini kepada pengguna di luar negara,” ujarnya.

Proses penjenamaan semula tersebut berlangsung secara berperingkat sehingga Mei tahun ini. Buat permulaan, pihak AFY Haniff akan menguar-uarkan perubahan berkenaan kepada pengguna menerusi maklumat tambahan pada label lama.

Menjelang Mei, jenama berkenaan akan menggunakan label baharu, Swipel sepenuhnya pada setiap produk yang sebelum ini dikenali dengan Serai wangi.

Mengulas mengenai perancangan tahun 2019, beliau menjelaskan, pihaknya berhasrat menembusi pasaran kedai serbaneka dan bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihaknya memperkenalkan botol lebih kecil bagi produk semburan penghalau serangga serai wangi.

“Kedai serbaneka ini, ruangnya agak terhad. Jadi, kami memperkenalkan botol bersaiz baharu iaitu 250 mililiter (ml).

“Sebelum ini, kami hanya mengeluarkan botol bersaiz 375ml dan 650ml. Botol lebih kecil ini hadir dengan harga cukup berpatutan buat pengguna,” jelasnya.