Lebih menyedihkan, anak gajah itu terpaksa menunduk ketika mahu mengambil makanan malah ada ketikanya perlu disuapkan oleh pegawai veterinar yang bertugas berikutan tidak mampu melakukan rutin harian itu secara sendirian.

Wakil Ketua Unit Tindakan Gajah Taman Nasional Way Kambas, wilayah Lampung, Tri Sulistiyono berkata, gajah-gajah lain menjamah makanan menggunakan belalai namun Erin terpaksa menunduk.

“Sekiranya mahu memakan buah-buahan, Erin perlu mendekatkan makanan itu pada mulutnya dengan menggunakan bantuan kaki. Situasi itu memberi sedikit kesukaran buat anak gajah ini dan kami bersimpati dengan keadaannya.

“Bagaimanapun, selepas kami menemuinya di kawasan hutan dekat Rawa Arjo, Way Kambas pada 23 Jun 2016, keadaan Erin kini semakin baik,” katanya baru-baru ini.

Erin merupakan sebahagian daripada gajah-gajah liar yang ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Taman Nasional Way Kambas, wilayah Lampung, Sumatera Selatan untuk diberi rawatan pemulihan.

Tri menambah, ketika pihaknya mula-mula menemui Erin, anak gajah tersebut berada dalam kesakitan berikutan belalainya terpotong akibat terkena jerat pemburu haram.

“Kami percaya jerat tersebut digunakan untuk memerangkap haiwan lain seperti rusa dan babi hutan namun ia terkena pada Erin.

“Anak gajah itu sebelum ini turut dipantau oleh petugas veterinar dan selepas ia berjaya ditangkap, pemantauan kesihatannya terus dipertingkatkan,” jelasnya.


Pemburuan

Dalam pada itu, keadaan Erin kini semakin pulih dan berat badannya terus meningkat sehingga mencecah 470 kilogram iaitu kira-kira dua kali ganda berbanding ketika ditemui sebelum ini.

Penderitaan yang dialami Erin ketika mendiami hutan Way Kambas juga dapat disifatkan sebagai bukti utama kegiatan pemburuan haram merupakan ancaman kepada kelangsungan binatang terutamanya gajah.

“Pemburu haram sama ada secara tradisional ataupun moden merupakan ancaman paling utama kepada survivor gajah di Indonesia malah haiwan lain seperti rusa serta badak turut menjadi mangsa.

“Justeru, kami berharap supaya orang ramai terus menyemai kesedaran untuk berusaha menyelamatkan gajah-gajah yang dilihat semakin merosot jumlahnya di seluruh dunia,” ujarnya.

Dalam usaha menyelamatkan gajah-gajah yang berada di republik tersebut, Persatuan Konservasi Hidupan Liar (WCS) turut menganjurkan kempen kesedaran bagi memberitahu orang awam mengenai penurunan populasi haiwan tersebut di Indonesia.

Menurut data yang dikeluarkan WCS, dalam tempoh lapan tahun lalu, hampir 26 ekor gajah ditemui mati dipercayai akibat pemburuan haram di kawasan hutan sekitar Way Kambas.

“Pada tahun 2014, dua ekor gajah masing-masing seekor jantan dan betina turut mati. Tahun 2015 pula menyaksikan sebanyak enam ekor gajah terdiri daripada lima betina dan seekor jantan dibunuh.

“Tiga ekor gajah iaitu seekor jantan dan dua betina juga ditemukan mati pada tahun 2016. Bagaimanapun, seekor daripada gajah tersebut mati akibat sakit,” jelasnya.

Seterusnya pada tahun 2017, sebanyak empat ekor gajah mati melibatkan seekor betina manakala tiga ekor lagi tidak dapat dipastikan jantinanya berikutan telah reput ketika ditemui pasukan renjer hutan.

Populasi

Sementara itu, seekor gajah betina dianggarkan berusia kira-kira 20 tahun turut ditemui mati pada tahun ini di wilayah Resort III Kuala Penet Way Kambas.

Ketika pasukan renjer hutan menemui gajah malang tersebut, gigi dan gadingnya telah diambil oleh individu tidak bertanggungjawab manakala bahagian kepala turut ditemui beberapa kesan tembakan.

Dalam pada itu, WCS melahirkan kebimbangan terhadap masalah ekosistem yang bakal dihadapi selain generasi muda akan kekurangan pengetahuan mengenai gajah sekiranya populasinya terus menurun.

Kesimpulannya, survivor gajah Sumatera ketika ini serta beberapa spesies lain termasuk harimau dan badak Sumatera perlu dijadikan penanda aras utama bagi menggerakkan usaha perlindungan dan penjagaan haiwan tersebut.

Setakat ini, haiwan terancam itu dilaporkan masih mendiami beberapa kawasan hutan di Indonesia termasuklah di Pulau Sumatera, Lampung, Taman Nasional Bukit Barisan Selatan dan Bengkulu Selatan.

Semua pihak perlu memainkan peranan serius dan bersungguh-sungguh bagi memastikan gajah Sumatera terus wujud selain memastikan keselamatan dan kesihatan mereka terus terjaga serta tidak mendapat nasib seperti Erin.