Program bersempena Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada setiap 1 Februari itu berlangsung selama sehari dan diisi dengan 18 aktiviti kesukanan serta hiburan antaranya, pertandingan Muay Thai, bola jaring, tarik tali, sukan tradisional, masakan, mewarna dan gubahan sebelum menutup tirai dengan persembahan konsert pada sebelah malam.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Anuar Mhd. Juri berkata, program yang bermula sejak pukul 7 pagi itu turut disertai kira-kira 200 golongan orang kelainan upaya dari sekitar Kuala Lumpur.

“Ini merupakan kali pertama kami adakan karnival sebegini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan iaitu gabungkan acara sukan dan konsert. Melalui karnival ini, kita terapkan konsep perpaduan tanpa mengira bangsa dan agama.

“Sambutan karnival ini sangat menggalakkan sehingga kami terpaksa menutup pendaftaran untuk acara sukan lebih awal kerana penyertaan melebihi jangkaan,” katanya kepada Kosmo! selepas acara penyampaian hadiah yang disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Artis terkenal

Turut hadir melancarkan karnival itu pada sebelah pagi ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Khairul Anwar berkata, konsert yang berlangsung pada sebelah malam itu disertai 10 artis terkenal tanah air antaranya, Black, Zamani (Slam), Siti Noordiana, Amelina, Liza Hanim, Elda Susanti, Hazami, Lan Solo, Nabila Razali dan kumpulan Bunkface.

“Selain acara sukan dan konsert, karnival itu turut diserikan dengan acara sampingan iaitu persembahan KL Street Artiste, Inflatable Games untuk kanak-kanak dan kendera saji yang menawarkan pelbagai variasi juadah istimewa,” katanya.