Sukan lasak

Menurut wakil Ketua Pembinaan Kesejahteraan Keluarga (PKK) Aceh, Dyah Erti Idawati, keindahan sungai yang terdapat di Lukup Badak disifatkan begitu sesuai untuk dijadikan lokasi pelancongan keluarga.
“Kami berharap kawasan tersebut akan menjadi produk pelancongan baharu berikutan jaraknya yang terletak berhampiran bandar selain kekayaan alam semula jadi yang terdapat di sana.


“Selain itu, pelancongan berkonsepkan sukan lasak seperti berakit juga dilihat sesuai dikembangkan memandangkan sungai berkenaan mempunyai aliran yang deras serta kurang berbatu,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.


Dyah menambah, dia turut mengambil kesempatan merasai pengalaman berakit sepanjang 4.5km di Lukup Badak sekali gus menyifatkan aktiviti tersebut mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.


“Kawasan itu mempunyai potensi yang begitu besar, kita perlu bangunkannya sebaik mungkin agar menjadi antara lokasi riadah paling terbaik di Kabupaten Acheh Tengah,” jelasnya.


Dalam pada itu, Ketua Penyelia Festival Rakit Takengon, Khalisuddin memberitahu, pihaknya sentiasa menjalankan pelbagai usaha bagi mempromosikan produk pelancongan di Lukup Badak agar dikenali setiap pelancong yang mengunjungi Kabupaten Acheh Tengah.


“Lukup Badak baru sahaja diangkat sebagai venue sukan lasak pada tahun lalu dan atas sebab itu, kami mahu berterusan memperkenalkan kawasan tersebut kepada masyarakat dunia,” ujarnya.

Festival

Festival Rakit Takengon merupakan antara acara yang terdapat di GAMIFest 2018 selain daripada program lain seperti pertandingan foto, persembahan tarian tradisional, pertandingan memasak serta perlumbaan perahu tradisional.


Selain itu, antara acara sampingan lain yang turut dianjurkan sempena festival berkenaan ialah pameran kopi, merentas desa, pameran kuda, sukan berbasikal serta latihan berkayak.


Khalisuddin memberitahu, kebanyakan peserta yang menyertai festival itu berasal dari kabupaten yang terdapat di Acheh seperti Lhokseumawe namun ada juga yang datang dari luar termasuklah Jakarta serta Riau.


Bagaimanapun, bagi pelancong yang belum pernah mencuba sukan air, mereka boleh menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong bertauliah bagi memberi tunjuk ajar.
“Sebagai permulaan, mereka boleh mencuba sukan air pada tahap satu terlebih dahulu sebelum diikuti fasa yang seterusnya. Jeram di Takengon mempunyai empat tahap kesukaran,” ujarnya.


Pakej harga yang ditawarkan kepada orang ramai yang berminat melakukan aktiviti sukan rakit bermula pada kadar Rp60,000 (RM16) hingga Rp150,00 (RM41) seorang.
Dalam pada itu, Khalisuddin turut mencari potensi baharu produk pelancongan di kawasan berkenaan untuk dibangunkan seperti sukan meluncur udara.


“Selain itu, kawasan peranginan berkenaan akan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan lain seperti peralatan sukan lasak untuk kegunaan pelancong selain tapak perkhemahan serta flying fox.
“Impian kami ialah mahu membangunkan kawasan ini sebagai wilayah pelancongan seterusnya berupaya menyumbangkan kemajuan ekonomi kepada masyarakat setempat,” ujarnya.