Ketiga-tiga konsep walaupun secara asasnya adalah tiga perkara berbeza, tetapi pada umumnya ia saling berkaitan di antara satu sama lain.

Tatkala stereotaip dan prejudis lebih merujuk kepada persepsi minda manusia, diskriminasi pula lebih merujuk kepada natijah daripada persepsi awal tadi.

Apakah yang membezakan antara ketiga-tiga hal tadi?

Stereotaip merujuk kepada hal yang sangat umum. Misalnya, kelompok gender tertentu adalah lemah atau kumpulan etnik tertentu adalah pengotor.

Ia merupakan stereotaip yang secara umumnya telah dibawa dari satu generasi kepada generasi lain, walaupun tanggapan ini tidaklah selalu benar dalam banyak keadaan.

Misalnya, jika dikatakan bahawa jantina wanita adalah lemah. Ia hanya sekadar gambaran, sedangkan hakikatnya ramai wanita yang lebih hebat daripada lelaki.

Begitu juga dalam perbualan umum, bangsa tertentu selalu dikaitkan sebagai malas.

Sedangkan hakikatnya, jika dilihat kepada jumlah jam bekerja, bangsa tadi juga bekerja sama banyak seperti bangsa lain. Ada pula bangsa yang dikaitkan dengan kepandaian.

Sedangkan hakikat yang sebenarnya, kepandaian tidaklah berkaitan dengan sifat bangsa. Ia lebih kepada sifat individu.

Disebabkan tanggapan tadi, akhirnya muncul persepsi lain yang lebih bersifat spesifik iaitu prejudis. Prejudis lebih merupakan reaksi negatif seseorang berdasarkan stereotaip tadi.

Kebiasaannya, dalam kebanyakan kes, prejudis ini akan mengabaikan stereotaip positif, sebaliknya cenderung dengan mengaitkannya dengan hal yang bersifat negatif. Misalnya, ada bangsa tertentu yang mungkin dikaitkan dengan kepandaian, baik budi dan sebagainya.

Bagaimanapun, untuk melengkapkan tanggapan negatif ini, hal-hal positif ini diabaikan. Manusia cenderung mengaitkan stereotaip negatif dengan prejudis yang bersifat negatif juga, seperti mengaitkan kumpulan etnik tertentu sebagai miskin dengan kadar jenayah.

Mustahil manusia akan mengaitkan hal yang positif seperti suka menolong dengan kadar jenayah.

Diskriminasi

Akhirnya, bagi melengkapkan proses tadi, berlakulah pula apa yang dikatakan sebagai diskriminasi. Misalnya, ada etnik tertentu yang mungkin tidak begitu diambil untuk bekerja kerana dikaitkan dengan sifat malas.

Ada pula kelompok tertentu yang mungkin ditolak pandangan mereka dalam pembuatan keputusan penting kerana telah dikategorikan sebagai tidak pandai.

Walaupun pada asalnya, ia sekadar tanggapan tetapi ia mungkin berakhir dengan kenyataan.

Misalnya, disebabkan ada kumpulan tertentu yang dikaitkan dengan malas, maka mereka telah dinafikan peluang untuk mendapat kontrak perniagaan tertentu atau tidak diberikan jawatan utama dalam bidang tertentu.

Akhirnya, disebabkan peluang yang terhad, mereka tidak mampu mengubah taraf hidup dan kekal dalam kemiskinan.

Kemiskinan tersebut kemudian akan digunakan sebagai bukti bagi membenarkan tanggapan awal tadi.

Mutakhir ini, ada dua isu penting yang berlaku dalam masyarakat kita. Pertamanya ialah isu berkaitan dengan langkah kerajaan yang pada awalnya memberi isyarat ingin menerima Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), tetapi kemudiannya menolaknya.

Penerimaan ini telah menyebabkan ada kumpulan tertentu yang merasakan kepentingan tertentu mereka akan terancam.

Sebaliknya, bagi kumpulan yang lain, tidak menerima Icerd ini juga akan menyebabkan kepentingan mereka terjejas.

Kedua, walaupun ia adalah kes yang berasingan, muncul pula kes rusuhan dalam pertelagahan mengenai perobohan sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor.

Walaupun ia mungkin tidaklah berkaitan dengan isu perkauman, tetapi disebabkan kes ini muncul di tengah perdebatan mengenai ratifikasi Icerd, maka secara umumnya orang awam cuba mengaitkannya sebagai isu perkauman juga.

Apa yang dapat kita gambarkan daripada kedua-dua kes ini?

Sebenarnya penerimaan Icerd mungkin bukanlah isu yang besar jika dilihat kepada majoriti negara dunia yang telah menerima pakai konvensyen tersebut.

Bagaimanapun, penolakan juga bukanlah bermakna kita akan sanggup untuk mendiskriminasikan pihak yang lain.

Namun, ia menjadi isu besar kerana stereotaip dan prejudis yang telah mendominasi pemikiran sebahagian besar masyarakat kita.

Disebabkan secara umumnya kita hanya ‘bersama tetapi tak bersatu’, akhirnya kita cenderung untuk menolak atau menerima apa sahaja yang datang tanpa terlebih dahulu berdebat mengenai kebaikan dan keburukannya.

Malah, mungkin sebahagian besar mereka yang menyokong Icerd ini tidak juga difahamkan dengan implikasinya, sepertimana mereka yang menolaknya tidak juga memahami kebaikannya.

Kita terlebih dahulu membuat keputusan berdasarkan emosi semata-mata.

Rusuhan yang berlaku di kuil itu pula telah melengkapkan pentafsiran awal kita. Walaupun ia cerita yang saling tak berkaitan, tetapi pemikiran kita seboleh-bolehnya akan cuba memastikan ia adalah yang berkaitan.

Minggu hadapan, khabarnya akan diadakan demonstrasi berkaitan Icerd. Ia akan melengkapkan kisah masyarakat kita yang tak pernah kering dengan isu stereotaip dan prejudis, walaupun kita mendakwa kita tak pernah sedemikian.