Sehubungan itu, jenama tersebut kini dalam proses menghasilkan pembungkusan baharu yang memaparkan logo halal Jakim dengan jelas pada semua pek produk jenama milikan Guardian.

Antara produk yang telah disahkan halal ialah gel mandian dewasa, gel mandian bayi, losen bayi, cecair pembersih wanita dan vitamin jenis Gummies untuk kanak-kanak. Produk selebihnya masih dalam peringkat pengesahan bagi mendapat sijil itu.

Jakim dianggap sebagai peneraju dalam pensijilan halal dengan syarat dan prosedur yang amat ketat di peringkat global. Pensijilan halal Jakim diperakui dan dipercayai di peringkat antarabangsa.

Menurut Pengarah Jenama Milikan Guardian Health and Beauty Sdn. Bhd., Alfonso Roderos, produk-produk milikan Guardian dihasilkan dengan menepati piawaian kualiti sejak dahulu lagi dan memperoleh persijilan halal itu adalah satu peningkatan kepada tahap jaminan kepada pengguna.

"Produk-produk Guardian yang disahkan halal diterima baik oleh umat Islam dan bukan Islam. Ini kerana mereka mempunyai keyakinan dalam jaminan kualiti, lebih-lebih lagi kebanyakannya diuji serta dibuktikan secara dermatologi pada harga yang disukai," katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan baru-baru ini.

Sementara itu, Penolong Pengurus bagi Perhubungan Awam dan Kerajaan Guardian Health and Beauty Sdn. Bhd., Farahani Failul Rahman menjelaskan, pengguna bukan Islam kini mula mencari produk halal kerana kebolehkesanan mengenai kesucian dan kebersihan produk.

"Guardian Malaysia akan terus memperluaskan portfolio produk-produk halal bagi memperkukuhkan lagi jenama kami," ujarnya.

Untuk mendapatkan senarai produk yang disahkan halal, para pengguna boleh melayari laman web, www.halal.gov.my.