Sogo teguh menjadi salah sebuah kompleks beli-belah yang menaungi rantaian rakan niaga yang kompetitif.

Bagi menghargai sokongan rakan niaga sejak mereka bertapak di ibu kota, Sogo baru-baru ini mengadakan bankuet apresiasi di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Sogo, Datuk Andrew Lim berkata, menjadi salah sebuah ikon dalam industri beli belah negara merupakan satu momen yang harus dibanggakan.

"Saya sangat berbangga melihat banyak syarikat meraih pencapaian yang besar dan kami dapat bersama-sama mereka.

"Melewati usia 30 tahun bukan suatu perkara yang mudah, namun kami berjaya membuktikan bahawa industri ini masih relevan untuk dikekalkan.

"Saya berharap industri ini berupaya untuk terus berkembang menjadi lebih besar dan meraih pelbagai kejayaan," ujarnya semasa berucap pada majlis bankuet Touch Sogo Charity Nite 2017 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, kemuncak majlis tersebut ialah apabila Sogo memperkenal dan melancarkan Touch Sogo Malaysia Foundation oleh Pengarah Urusan Kumpulan Sogo Malaysia, Datuk Alfred Cheng.

Alfred memberitahu, yayasan itu ditubuhkan untuk mencipta ruang kehidupan bagi golongan yang kurang berkemampuan berdasarkan sumbangan Sogo selama ini.

Belajar kemahiran

"Yayasan ini akan memberi fokus terhadap aspek pendidikan, golongan sosial yang kurang berkemampuan dan miskin.

"Selain itu, yayasan ini juga akan menyediakan platform bagi golongan tersebut untuk mempelajari kemahiran-kemahiran baharu.

"Kami berharap usaha itu dapat mempromosikan harapan, kesatuan, keamanan dan yang paling penting sekali ialah kasih sayang bermula pada pertengahan tahun 2018 nanti," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Sogo turut menganjurkan pertandingan pencarian pereka muda Sogo 2017.

Bertemakan Project Pink, ia bagi tujuan mempromosikan kesedaran dalam diri masyarakat mengenai kanser payudara menerusi karya pereka muda di Malaysia.

Tema pertandingan fesyen itu merangkumi dua set pakaian iaitu Ready-To-Wear dan Avant-Garde.

Sebanyak tujuh peserta muda berentap pada pentas akhir dalam majlis bankuet apresiasi tersebut.

Pertandingan itu diadili oleh selebriti, Elaine Daly; pereka fesyen, Datuk Radzuan Radziwill dan Pengurus Kanan Bahagian Komunikasi Sogo, Ronnie Tan.

Pemegang sijil diploma Akademi Fesyen Carven, Steven Chuah muncul juara apabila dinobatkan sebagai Sogo Best Young Fashion Designer Award pada malam tersebut.

Koleksi rekaannya yang dinamakan sebagai The PORS berjaya mencuri perhatian juri, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000 dan trofi.

Steven berharap, namanya mampu diangkat menjadi salah seorang pereka fesyen yang berjaya, memiliki dan mengendali jenama sendiri suatu hari nanti.