“Saya gembira hari ini kerana ahli keluarga juga datang untuk meraikan hari konvokesyen.

“Saya tidak pernah masuk universiti selepas tamat persekolahan. Namun dengan menyertai program ini, ia memberi pengalaman kepada saya bagaimana rasanya menjadi seorang mahasiswa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pitaberry Sdn. Bhd. itu.

Bagi Raymond dia amat gembira kerana komitmennya selama lebih tiga bulan untuk mengikuti program [email protected] 2017 memberi banyak ilmu perniagaan kepadanya.

Baru-baru ini bertempat di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM) seramai 22 pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif daripada pelbagai syarikat yang mengikuti program [email protected] 2017 telah diraikan dalam satu majlis konvokesyen mini.

[email protected] 2017 merupakan sebuah program anjuran Fakulti Ekonomi UPM dengan kerjasama SME Corp Malaysia dan disokong oleh Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (PSMB).

Daya saing

Program tersebut merupakan satu usaha inovatif yang menggembelingkan kepakaran universiti, agensi kerajaan dan industri secara langsung.

Pengerusi [email protected], Prof. Madya Dr. Azmawani Abd. Rahman berkata, perlaksanaan program tersebut bertujuan memberi peluang kepada usahawan yang terlibat dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mendapatkan pembelajaran berstruktur dan membolehkan mereka mencapai inovasi, daya saing untuk meningkatkan prestasi perniagaan.

“Pembangunan keupayaan sumber manusia menjadi perkara utama bagi IKS dalam meneruskan kepelbagaian kreativiti dan inovasi membangunkan perniagaan.

“Jumlah peserta untuk program ini bagi tahun 2017 ialah seramai 22 individu yang berpengaruh dalam sesebuah syarikat berprestasi daripada pelbagai sektor seperti pembinaan, pertanian, minuman serta makanan dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemui di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM, Serdang, Selangor baru-baru ini. Sehingga tahun 2017 program itu telah diadakan untuk kali kelima dan secara keseluruhan seramai 110 peserta telah menyertainya.

Menurut Azmawani, selain pembelajaran di dalam kelas, peserta program juga berpeluang untuk membuat lawatan industri.

Untuk tahun 2017 peserta program telah melakukan satu lawatan industri ke Jepun pada November lalu.

“Enam syarikat yang terdiri daripada industri automobil, servis, teknologi hijau, syarikat perkhidmatan dan pengilangan telah dikunjungi oleh peserta program.

“Melalui lawatan itu, peserta berpeluang untuk melihat kemajuan industri dan teknologi di Jepun, selain boleh berinteraksi serta bertukar fikiran dan idea perniagaan,” jelasnya dalam satu kenyataan akhbar.

Sementara itu, wakil peserta program, Aravendashan Ramasamy memberitahu, dia dan peserta lain begitu gembira kerana berpeluang mengikuti program tersebut.

Menurutnya, pelbagai input tentang amalan perniagaan terkini diperoleh oleh mereka semua.

“Peserta program datang daripada pelbagai bidang dan kepakaran masing-masing. Melalui program ini kami bertukar-tukar pendapat dan idea berlaku untuk memantapkan lagi sesebuah perniagaan.

“Selain itu, lawatan industri banyak memberi input berguna kepada kami. Kami berpeluang melihat sendiri tentang teknologi dan kepakaran yang digunapakai oleh industri di sana,” jelasnya.