Ia terbukti apabila hampir 9,000 orang pengunjung yang terdiri daripada pemilik jentera dua roda menyertai program yang julung-julung kali diadakan itu.

Pengerusi Program, Fatin Sabrina Zulkarnain, 29, berkata, acara yang bertemakan Lagenda Mat Motor KL itu berjaya mencapai matlamatnya.

“Slavesanarki merupakan jenama pakaian yang popular dalam kalangan penggemar motosikal custom di Jakarta, Bandung dan Bali, Indonesia.

“Kini, jenama ini melangkah setapak ke hadapan apabila menembusi pasaran tempatan. Saya yakin ia akan mendapat sambutan yang positif berdasarkan kehadiran peminat pada program yang diadakan ini.

“Jenama ini menjadi pilihan kerana corak dan polanya yang mengikuti cita rasa peminat motosikal masa kini.

“Kami akan membuka sebuah butik dan mempamerkan semua koleksi jenama pakaian Slavesanarki untuk tatapan peminat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Fatin Sabrina memberitahu, Slavesanarki mahu melebarkan sayapnya dengan menghasilkan aksesori, komponen dan alat ganti motosikal pada masa hadapan.

Malah, mereka juga bercadang untuk membuka sebuah bengkel membaik pulih motosikal di lokasi yang sama.

“The Garage KL akan menjadi pusat sehenti produk jenama Slavesanarki.

“Pemilik jentera dua roda dan peminat motosikal yang mahu mendapatkan produk Slavesanarki boleh berkunjung ke lokasi ini,” katanya.

Nostalgia

Slavesanarki International Moto Day 2018 merupakan program anjuran Slavesanarki yang mendapat sokongan daripada lebih 80 kelab motosikal dari seluruh negara, terutamanya kelab-kelab yang bernaung di bawah 14 Brotherhood 32 Deligasi serta KamiMatMotorKL90/05.

Salah seorang peserta, Hassan Sarman, 39, berkata, program itu berjaya mengumpul pemilik jentera dua roda dari seluruh pelosok tanah air untuk berhimpun sambil mengeratkan silaturahim dan ukhuwah.

“Selain bertukar-tukar pendapat, kami juga berkongsi pengalaman tentang motosikal dan mengembalikan semula nostalgia silam.

“Lagenda Mat Motor KL menjadi pilihan tema kerana kami meraikan mat motor zaman 1980-an, 1990-an dan golongan belia masa kini.

“Pelbagai aktiviti diadakan seperti jualan produk dan cenderamata daripada kelab-kelab motosikal dari seluruh negara. Turut diadakan ialah pertandingan motor tercantik.

“Semua kelab mempamerkan koleksi-koleksi motosikal dan barangan kelab mereka untuk tontonan pengunjung.

“Suasana sangat meriah kerana mereka berusaha menarik kehadiran ramai pengunjung ke gerai masing-masing, sekali gus membeli barangan yang dipamerkan.

“Namun, acara yang paling mencuri tumpuan ialah cabutan bertuah berupa sebuah motosikal Yamaha Y15 yang dimenangi pengunjung dari Johor,” kata Hassan yang mempunyai kedai menjual barangan terpakai di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur.

Program itu dirasmikan oleh Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam yang turut disertai barisan artis seperti Kazar Saisi, Pekin Ibrahim, Uchop Ahmad, Zack Massa dan Pencetus Ummah, Muhammad Abu Sufyan Mohd. Mokhtar Rozaidi.