Peminat stik daging boleh menikmati aneka pilihan stik terkini restoran itu iaitu Sizzlin’ Beef Chicken Chicken Cerapi, Smokin’ Beef Chicken Smoke Beef, Blazin’ Beef Chicken Lamb Noisette dan Rockin’ Beef Chicken Beef Meatball.

Pengurus Besar New York Steak Shack (NYSS), Muhammad Adam Mah berkata, sajian Sizzling Trios boleh diperoleh di semua restoran dengan harga bermula RM54.80.

“Kami mempelawa pengemar stik untuk bersama-sama kami di dalam sambutan ini dengan menawarkan juadah kegemaran mereka di dalam satu pinggan pada harga yang berpatutan.

“Sama ada untuk majlis hari lahir atau kenaikan pangkat di tempat kerja, kami mengalu-alukan semua orang untuk meraikan detik istimewa mereka di restoran kami dengan juadah Sizzlng Trios ini” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Tambahnya, sejak penubuhan restoran itu pada tahun 2014, NYSS telah menyaksikan kemajuan besar dan berharap untuk terus maju dengan pelanggan setia mereka.

Restoran itu memperkenalkan Splashing Drinks iaitu mug Sarsaparilla Splash, Strawberry Lemonade, Cranberry Cooler, Pina Coco dan Summer Fizz yang dihidangkan bersama Sizzling Trios.

Kini, NYSS mempunyai enam restoran di Lembah Klang iaitu di Sunway Pyramid, Sunway Velocity, IOI City Mall, Subang Parade, Aeon Mall Shah Alam dan Melawati Mall.

Perancangan

Ditanya mengenai perancangan masa depan restoran itu, Muhammad Adam berkata, pihaknya sedang merancang untuk memperluaskan rangkaian ke luar negara.

Dalam pada itu, NYSS turut mengumpul dana sebanyak RM11,300 menerusi kempen Share The Love dalam usaha memberi semula kepada masyarakat.

Dana itu diberi kepada Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya untuk tujuan penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur.

Pemberian cek kepada pihak masjid dilakukan ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri masjid itu yang diadakan pada 22 Jun lalu.

“Kami berasa bangga dengan sokongan dan kemurahan hati pelanggan yang sudi menyumbang kepada kempen kutipan dana ini.

“Musim perayaan ialah masa untuk keraian tetapi ia juga masa untuk mencerminkan diri dan memberi semula kepada mereka yang memerlukan,” katanya lagi.