Penambahan tersebut adalah dua perkara penting di dalam komponen penjagaan dan pendidikan awal usia iaitu kit aktiviti seni dan kreativiti serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan Matematik (STEM).

Dua komponen tersebut juga popular dipanggil Siri Conteng-Conteng Chichi & Chacha dan Siri STEM Chichi & Chacha.

Siri Chichi & Chacha Conteng-Conteng yang telah dikaji dan dibangunkan oleh pakar pendidikan awal usia e2L yang terdiri daripada empat siri seni dan kraf bertajuk Kraf Perca, Kayu Magika, Besi Berani dan Diorama Rimba.

Kesemua empat kit aktiviti tersebut direka khas untuk menggalakkan penggunaan imaginasi, kreativiti dan semangat ingin tahu kanak-kanak.

“Setiap kit dilengkapi dengan buku panduan yang mudah difahami. Selain itu, kanak-kanak juga bebas mencipta berdasarkan kreativiti mereka sendiri.

Siri STEM Chichi & Chacha adalah satu siri kit eksperimen yang bersifat interaktif dan menggalakkan pembelajaran tambahan yang bakal membuat kanak-kanak teruja tentang ilmu STEM,” kata Pengurus Pembangunan Perniagaan, e2L, Raja Amirul Raja Nasron.

Jelas Raja Amirul, memahami betapa pentingnya menggalakkan kanak-kanak untuk meneroka dalam memastikan kejayaan masa depan mereka, Siri STEM Chichi & Chacha merangsang minda kanak-kanak yang sentiasa aktif untuk belajar melalui sini eksperimen yang melibatkan warna, siri hidraulik serta pengangkutan.

Kreatif

Tambahnya, kit tersebut membolehkan kanak-kanak membina, manipulasi bahan serta melihat sendiri hasil ciptaan mereka di depan mata.

Sehubungan itu, katanya, kanak-kanak dapat membina, memanipulasi bahan serta melihat sendiri hasil ciptaan mereka hidup di depan mata dengan mengikuti arahan yang mudah.

Siri Conteng-Conteng dan Siri STEM Chichi Chacha direalisasikan daripada idea untuk mengajar minda muda tentang cara yang kreatif dan unik untuk belajar kerana kami yakin bahawa pembelajaran seharusnya menyeronokkan.

“Kit siri aktiviti kami akan menggalakkan rasa ingin tahu, meraikan kreativiti dan menggalakkan sesi pembelajaran interaktif antara ibu bapa dan anak,” ujarnya.

Objektif

Dalam pada itu, e2L menyatakan objektif utama yang mahu disampaikan melalui kit aktiviti tersebut adalah memastikan kanak-kanak belajar dengan lebih optimum melalui permainan yang dibekalkan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Kandungan e2L, Farahdilla Fadhil berkata, fasa penyelidikan, percubaan dan ujian telah dilakukan oleh pasukan pakar pendidikan awal usia bagi memastikan setiap isi kandungan bahan itu berbaloi serta menarik pelanggan untuk membelinya.

“Kami sangat bangga dan berpuas hati dapat menawarkan kit aktiviti seumpama ini kepada kanak-kanak.

“Walaupun tidak semudah disangkakan, ia adalah berbaloi untuk melihat idea kami menjadi realiti dan kit ini dapat mengukuhkan lagi pasaran pendidikan awal di Malaysia,” ujarnya.

Katanya, harga setiap kotak Siri Conteng-Conteng dan Siri STEM Chichi & Chacha ialah RM30 dan boleh didapati secara eksklusif di laman Facebook dan Instagram Chichi Chacha serta di www.chichichacha.com.my.