Program berkenaan diadakan rentetan daripada sambutan luar biasa yang diterima daripada orang ramai ketika penganjuran Sing-Along kali pertama pada tahun 2014.

Menerusi program berkenaan, TGV Cinemas menayangkan filem muzikal buat para penonton di beberapa pawagam terpilihnya di seluruh negara.

Pengurus Besar Pemasaran dan Operasi TGV, Kabir Ariff Sultan berkata, program tersebut diadakan khusus untuk memberi keseronokan kepada kanak-kanak dan keluarga.

Jelasnya, kali ini ia istimewa kerana turut disertai Goodday sekali gus menawarkan aktiviti menarik dan mampu meninggalkan memori yang tidak dapat dilupakan.

“Kami sangat teruja dapat menganjurkan program Sing-Along bersama Goodday kali ini. Ia satu peluang unik untuk kami menampilkan kelainan kepada penonton wayang.

“Tahun ini ia akan dimulakan dengan filem muzikal Beauty and the Beast Sing-Along yang akan ditayangkan sepanjang tahun,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Berhibur

Program Sing-Along membolehkan penonton menikmati filem sambil berhibur di dalam panggung wayang.

Ada ketikanya, penonton akan dikejutkan dengan kemunculan patung-patung watak yang terdapat dalam filem berkenaan sambil menyanyi dan menari di dalam panggung wayang.

Istimewa pada pelancaran dan tayangan perdananya baru-baru ini, penonton bukan sahaja berpeluang berhibur menonton wayang tetapi juga bermain dengan maskot lembu Goodday, Dee Dee selain dibekalkan minuman susu Goodday.

Sebagai jenama yang berteraskan komuniti, Goodday dan TGV Cinemas sentiasa berusaha memberi sesuatu kelainan berbanding produk sedia ada.

Usahasama tersebut juga diharap dapat memberi peluang kepada ibu bapa meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak pada masa lapang.

Bagi pihak Goodday, Naib Presiden Pemasaran, Etika Sdn. Bhd., Santharuban T. Sundaram berkata, minuman susu Goodday banyak memberi penekanan kepada perkembangan kanak-kanak.

“Kunci utama kepada perkembangan kanak-kanak adalah masa berkualiti bersama keluarga dan melakukan momen istimewa bersama-sama.

“Program ini diharap dapat mengukir senyuman pada wajah para penonton sekali gus menjadikan hari mereka lebih bermakna,” katanya.

Program Sing-Along melibatkan pawagam-pawagam TGV terpilih dan ditayangkan pada masa-masa tertentu. Sila layari www.tgv.com.my untuk maklumat lanjut.