Menjadi nadi sukan untuk Malaysia, Astro Arena sering menyiarkan program-program sukan menarik untuk tatapan umum.

Bagi mempelbagaikan program sukan yang disiarkan mereka, Astro Arena telah memperkenalkan satu rancangan baharu yang berjudul Sidang Sukan.

Bersiaran pada setiap hari Isnin pukul 10 malam, Sidang Sukan akan membincangkan isu-isu sukan semasa secara terbuka.

Selain itu, program tersebut turut diadakan siaran ulangan pada pukul 11.30 malam hari yang sama.

Editor Pengurusan Berita dan Majalah Astro Arena, Ahmad Khawari Isa berkata, melalui program Sidang Sukan, penonton akan mendengar pelbagai pandangan yang dilontarkan oleh panel-panel jemputan.

Jelasnya, setiap minggu aka nada lima panel jemputan yang akan membincangkan lima topik sukan yang berbeza.

“Untuk program ini, konsep ia lebih kepada perdebatan dan panel-panel jemputan akan berdebat antara satu sama lain tentang isu-isu sukan yang dibincangkan.

“Ini merupakan program debat sukan pertama di Malaysia dan ia akan memberi sesuatu yang baharu kepada penonton,” katanya.

Tambah Ahmad Khawari, penonton akan mendengar lebih banyak pendapat dan hujah sesuatu isu sukan yang dilontarkan oleh panel jemputan melalui program ini.

Untuk rancangan Sidang Sukan ini, panel-panel yang dijemput juga harus bersedia dengan topik-topik yang akan diperdebatkan.

Panel yang dijemput akan diberitahu tiga hari lebih awal tentang sesuatu isu yang akan diperdebatkan dalam rancangan itu dan mereka perlu melakukan sedikit kerja rumah dengan menyediakan pendapat-pendapat yang akan dilontarkan.

“Akan berlaku perselisihan pendapat antara panel, jadi mereka perlu meyakinkan panel-panel yang lain bahawa pendapat yang dilontarkan itu adalah betul dan benar.

“Sebagai permulaan, panel-panel yang dijemput adalah melibatkan personaliti sukan Astro Arena terlebih dahulu. Pada masa hadapan, mungkin kami akan menjemput wartawan-wartawan sukan luar dan tokoh-tokoh sukan untuk menjadi panel dalam rancangan ini,” jelasnya ketika ditemu bual Kosmo! di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Penyiar rasmi

Pada perkembangan lain, Ahmad Khawari menjelaskan, Astro Arena menyiarkan beberapa liputan sukan besar untuk tatapan rakyat Malaysia pada tahun ini.

Bagi Sukan Komanwel 2018 yang akan berlangsung di Gold Coast, Australia pada April depan, Astro Arena akan menjadi penyiar rasmi.

“Sepanjang Sukan Komanwel berlangsung, kami akan membuat liputan siaran langsung selama 16 jam sehari.

“Selain itu, kami akan membuka satu saluran baharu yang akan menyampaikan berita-berita berkaitan sukan yang dipertandingkan,” jelasnya.

Tambahnya, Astro Arena juga akan memberikan liputan-liputan eksklusif terhadap pemenang-pemenang pingat pada temasya sukan itu.

Selain itu, Astro Arena juga akan menyiarkan perlawanan-perlawanan bola sepak sempena kempen Piala Dunia 2018 di Rusia.

Astro Arena juga akan menyiarkan program-program khas sempena kejohanan tersebut.

“Di Astro Arena, penonton berpeluang untuk menonton perlawanan bola sepak yang diulas dalam bahasa Melayu,” katanya.