Tidak semena-mena, berita pembubaran Parlimen itu sudah mula menjadi topik perbualan di kedai-kedai kopi.

Malah, calon-calon yang bakal bertanding atau ada yang disingkirkan mula menjadi tajuk utama bagi penggemar politik tanah air.

Bagaimanapun, seperti banyak khabar angin yang lain, ia pada akhirnya berterusan menjadi berita atau maklumat yang tidak dapat disahkan oleh sesiapa.

Ia berlegar dalam topik perbualan masyarakat, seolah-olah sesuatu yang benar. Apabila khabar angin tertentu ini mulai reda, ia didatangi pula dengan cerita yang baharu.

Dalam erti kata lain, hidup kita ini sebenarnya dilingkari dengan khabar angin sepanjang masa. Mengapa manusia percaya dengan khabar angin?

Sebenarnya, khabar angin ialah sesuatu yang didatangkan dalam bentuk yang penuh dengan sifat tanda tanya.

Disebabkan ia didatangkan dengan khabar yang tidak disahkan atau dalam erti kata lain, ia digambarkan dalam bentuk ‘terpotong-potong’.

Ahli psikologi cuba menerangkan bagaimana khabar angin sebenarnya diproses pada tahap kognitif manusia.

Apabila berita ini datang dalam sifat yang tidak sempurna, maka manusia cenderung untuk melengkapkan cerita tadi dengan versi masing-masing bagi menyempurnakan cerita tersebut.

Misalnya, seseorang ahli politik akan berpaling tadah menyertai parti yang lain.

Walaupun cerita ini tidaklah dapat disahkan, cerita-cerita tambahan lain akan disertakan bersama bagi melengkapkan khabar angin yang asal tadi.

Cerita tambahan lain tadi seperti ahli politik ini pernah terlihat duduk berbual dengan tokoh politik daripada parti yang bakal disertainya.

Berita seumpama ini akan menjadi lebih mudah dipercayai jika ada gambar tertentu yang dapat dipaparkan bersama.

Walaupun gambar yang disertakan itu mungkin tidak lagi berkaitan dengan cerita asal ‘ahli politik ingin berpaling tadah’ yang menjadi mesej awal tadi.

Khabar angin ini pula biasanya akan disebarkan oleh individu tertentu khususnya individu yang mempercayai bahawa khabar angin tadi adalah benar.

Bukti tambahan

Ia biasanya disebarkan bersama dengan bukti-bukti tambahan baharu atau dengan kenyataan baharu yang telah diubah bagi memastikan penyampaian berita tadi dilihat sebagai benar.

Bergantung kepada sifat mesej, berita ini akan disertakan dengan kenyataan sokongan yang bersesuaian dengan konteks berita tadi.

Sekiranya, berita itu bersifat jenayah, biasanya orang akan cuba merujuk kepada sumber polis.

Sebaliknya, jika ia merupakan berita yang melibatkan turun naik ekonomi, ia akan disertakan dengan sumber pegawai bank.

Walaupun pada akhirnya, berita baharu ini mungkin hanyalah sekadar tambahan satu lagi khabar angin, pasti akan ada yang mempercayainya.

Peringkat paling akhir dalam proses penyebaran khabar angin ialah pengulangan berita ini daripada seseorang kepada orang yang lain.

Hinggakan kerana kekerapannya, ia pada akhirnya dianggap sebagai perkara yang pernah berlaku.

Secara umumnya, dalam banyak khabar angin, jarang sekali ia melibatkan cerita yang bersifat positif.

Sebaliknya, ia didatangkan dengan elemen negatif yang selalunya mencetuskan rasa cemas manusia.

Berasa cemas dan penuh dengan tanda tanya menjadikan orang lebih cepat percaya. Khabar angin ini juga biasanya datang mengikut suasana.

Ketika musim pilihan raya, khabar angin politik akan menjadi sangat dominan. Kita akan mendengar pelbagai kisah tentang ahli politik itu dan ini yang sedang bergelut dengan banyak skandal serta kontroversi.

Pada saat kegawatan ekonomi, khabar angin akan didatangkan dalam bentuk yang menakutkan orang ramai dengan situasi ekonomi seperti berita pembuangan pekerja atau penggabungan syarikat.

Adakah khabar angin ini sengaja diada-adakan? Hakikatnya, ia mungkin bukanlah diwujudkan bagi tujuan tertentu.

Ia mungkin sekadar perbualan kosong di kedai kopi yang kemudiannya telah dinaik taraf menjadi satu topik seronok didengar seolah-olah satu realiti.

Apabila diulang-ulang dalam pelbagai versi, ia akhirnya dipercayai.

Hakikat yang sebenarnya, khabar angin ini hanyalah sekadar cerita yang telah memanipulasi minda manusia.

Kepada yang mempercayainya, ia kemudiannya telah diolah semula untuk dipercayai orang lain pula.

Sebagai pembaca, kita sewajarnya bijak menilai berita yang nyata dan palsu yang berlegar dalam kehidupan kita.

Kita memilih pemimpin yang mampu menguruskan masyarakat dan bukannya memilih atau menolak seseorang hanya kerana khabar angin yang kita sendiri tidak tahu hujung dan pangkalnya.