Penerbangan sejauh 16,700 kilometer (km) itu dianggarkan mengambil masa sehingga 18 jam 45 minit, namun ia berjaya dilaksanakan dalam tempoh 17 jam 52 minit.

Berlepas dari Singapura, pesawat Airbus A350-900ULR itu melalui Thailand, China, Mongolia, Rusia, Kutub Utara, Greenland dan Kanada sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark, New York.

SIA melancarkan semula penerbangan Singapura ke Newark itu selepas memberhentikan penerbangan melibatkan pesawat Airbus A340-500 tersebut pada 2013 kerana didapati tidak efisien memandangkan kos bahan api yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, sejak Oktober lalu, SIA melancarkan semula perkhidmatan itu menggunakan pesawat yang lebih efisien iaitu Airbus A350-900ULR, sekali gus menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia yang mengoperasikannya.

Pesawat jenis Airbus A340-500 beroperasi dengan empat enjin, manakala A350-900ULR atau Ultra Long Range hanya dua enjin.

Perkhidmatan ini menawarkan sebanyak 67 tempat duduk kelas bisnes dan 94 kelas ekonomi premium.

Harga tiket bagi kelas ekonomi premium bermula dari RM4,230 sehala atau RM6,750 untuk dua hala, manakala kelas bisnes bermula dari RM14,054 untuk sehala dan RM21,205 untuk dua hala.

Rekod penerbangan bertempoh paling panjang sebelum ini dipegang oleh Qatar Airways yang menawarkan perkhidmatan antara Doha, Qatar ke Auckland, New Zealand yang mengambil masa selama 17 jam 30 minit.