Kekerapan bercukur bergantung kepada individu dan kepantasan bulu tumbuh semula. Ada yang bercukur setiap hari dan ada yang akan menunggu beberapa hari atau minggu sebelum melakukannya.

Mungkin kita pernah mengalami situasi tiada bekalan pisau cukur baharu atau masih elok untuk digunakan apabila ingin bercukur.

Sedangkan janggut, misai atau mana-mana bulu di bahagian yang tidak diingini seperti di bawah lengan sudah tumbuh meliar dan ia baru disedari pada waktu genting ketika bersiap-siap ke tempat kerja atau sebagainya.

Justeru, model bisnes berasaskan konsep langganan, Shave2U menawarkan servis penghantaran kelengkapan alat bercukur terus ke rumah pelanggan pada bila-bila masa.

Pengasasnya, James Greaves berkata, melalui model langganan yang fleksibel, bermula dengan kit percubaan untuk tempoh dua minggu pada harga serendah RM6.50.

Ia merangkumi satu pemegang cukur premium dengan satu kartrij bilah yang boleh dipilih oleh pengguna, serta krim cukur dengan kos penghantaran percuma.

Jika pengguna berpuas hati dengan kit percubaan tersebut, mereka akan mula menerima isian semula berdasarkan jenis bilah mengikut kekerapan yang dipilih.

Lelaki moden

“Shave2U berpangkalan di Kuala Lumpur dan kami memahami keperluan pengguna terutamanya lelaki moden di Malaysia. Golongan tersebut mahu tampak segak dan kemas.

“Sehingga ke hari ini, lebih daripada 100,000 pengguna telah menerima perkhidmatan kami. Sejak pengenalan Langganan Percubaan bulan Mei yang lalu, kami telah menerima lebih daripada 10,000 pendaftaran dari seluruh Malaysia dan Singapura,” ujarnya pada pemberita pada program The Art of the Perfect Shave di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, pelan bercukur boleh disesuaikan mengikut keperluan peribadi bermula dari RM26 untuk setiap pesanan berdasarkan jenis bilah sama ada tiga, lima atau enam bilah dengan tempoh penghantaran antara dua hingga empat bulan atau lebih.

Ia menawarkan bilah dan pemegang cukur serta krim yang berkualiti dengan harga sehingga 40 peratus lebih rendah berbanding harga runcit dengan menyasarkan golongan urban lelaki celik digital berusia 20 hingga 45 tahun.

Sementara itu, pengasas Othrs. Barbers, Lex Low menyarankan, bahagian wajah yang ingin dicukur ditekap dengan tuala hangat selama satu hingga dua minit sebelum proses bercukur.

“Ia dapat membantu kulit bersedia dan membuka liang roma pada wajah sekali gus melancarkan tugas mencukur. Selain itu, amat penting menggunakan pisau cukur berkualiti bagi mengelakkan kulit muka cedera atau mengalami ruam,” jelasnya.

Terdahulu beliau melakukan berkongsi tip dan melakukan demonstrasi bercukur terhadap usahawan berpengaruh, Roen Cian Nagapan yang sinonim dengan imej berkumis dan berjanggut.

Maklumat lanjut mengenai Shaves2U, produk dan pelan bercukur syarikat tersebut boleh didapati dengan melayari laman web www.shaves2u.com.

– SITI AMINAH MOHD. YUSOF