“Encik Rahman, anda terpilih sebagai salah seorang daripada peserta majlis kunjungan Putera Charles, Prince of Wales dan isterinya Camilla, The Duchess of Cornwall untuk meraikan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan Britain.

Usai menjawab panggilan telefon itu, Rahman seolah-olah terjaga daripada mimpi, namun realitinya peluang ini tidak datang dengan mudah. Dia terus menyahut cabaran itu dengan melakukan beberapa persediaan yang sepatutnya.

Tanpa menunggu lama, Rahman, 31, terus berhubung dengan pihak utama dalam mengatur lawatan rasmi tersebut iaitu Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur yang menadah tangan dan senang hati membantunya melengkapkan persediaan serta persiapan.

“Antara persediaan yang saya lakukan sebelum sesi itu ialah memperbanyakkan membaca artikel, majalah dan buku mengenai topik yang diberi.

“Ini untuk membantu saya mengendalikan perbincangan yang disertai oleh belia daripada pelbagai negara,” katanya baru-baru ini.

Dokumen

Rahman berkata, dalam tempoh yang diberikan, banyak pandangan dan cadangan dapat digarap. Ia satu kejayaan kerana mampu menghasilkan sebuah dokumen cadangan untuk memberi nilai tambah bagi program yang dihadiri Putera Charles.

Jelas Rahman, beliau berasa sangat bertuah kerana terpilih dan menyifatkan peluang itu amat istimewa selain sebagai satu pengalaman yang bernilai.

Tarikh 2 November adalah detik bersejarah apabila Putera Charles dan isterinya, Camilla tiba di Kuala Lumpur untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Pasangan diraja itu melawat beberapa tempat di Kuala Lumpur, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang selain menyertai pelbagai acara penting sepanjang lawatan selama tujuh hari yang berakhir pada 8 November lalu.

Putera Charles dan Camilla bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat Malaysia termasuk kerabat diraja, kanak-kanak kurang upaya dan komuniti perniagaan.

Pasangan diraja itu juga menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara serta bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Ini adalah lawatan pertama pasangan diraja itu ke Malaysia.

Kerabat diraja British yang pernah melawat Malaysia sebelum ini ialah Ratu Elizabeth II dan suaminya, Duke of Edinburgh bagi menghadiri upacara perasmian Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur pada tahun 1998. Pada September 2012, Duke of Cambridge, Putera William dan isteri iaitu Duchess of Cambridge, Kate Middleton melakukan lawatan ke Malaysia.

Hubungan Malaysia dan Britain meliputi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan dan keselamatan, pelaburan, pendidikan, ekonomi digital, teknologi hijau serta tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan.

Malaysia adalah pasaran eksport kedua terbesar Britain di ASEAN dan Britain juga rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Eropah manakala dalam bidang pendidikan, kini terdapat lebih 18,000 rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran di sana.

Lawatan pasangan diraja itu adalah sebahagian daripada rangka lawatan ke Singapura, Malaysia dan India.

Rahman berkata, sepanjang lawatan kerabat diraja Wales itu, beliau segak memakai baju batik kebangsaan hanya memberikan tumpuan kepada sesi yang disertainya, The Commonwealth Youth Event di University of Nottingham di Kajang, Selangor.

Komen

“Saya terlibat untuk mengetuai sesi bersama peserta dan pelajar dalam acara itu. Kami hanya duduk berbincang dan berbual mengenai topik yang diberikan sebelum disapa kerabat diraja Wales itu.

“Saat yang saya tidak dapat lupakan apabila Putera Charles membuat keputusan untuk duduk di sebelah saya selain mengiktiraf dan memberi komen tentang hasil perbincangan kami.

“Putera Charles memberitahu kami bahawa perkara yang kami bincangkan adalah suatu perkara yang beliau secara peribadi merasakan perlu diambil berat,” katanya.

Rahman berkata, antara pesanan penting Putera Charles dalam pertemuan kira-kira 10 minit itu ialah isu global dunia seperti siber buli, perubahan iklim, ekonomi dan revolusi industri yang penting kepada kesejahteraan masa hadapan generasi hari ini serta akan datang.

Bagi Rahman, pertemuan dengan Putera Charles itu adalah satu penghormatan besar dan meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan. – Bernama