Melihatkan kepada hasil perniagaan yang memuaskan itu telah menyebabkan wanita yang berasal dari Kuantan, Pahang tersebut semakin serius mencari wang sendiri.

“Saya berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan dengan menjual kanta lekap itu.

“Namun, persaingan dalam perniagaan ini sangat sengit, lantas saya mengambil keputusan untuk turut sama menjual barangan kecantikan dan aksesori seperti kasut serta perhiasan diri.

“Saya tidak menyangka ramai orang yang berminat dengan jualan kasut ini dan pelanggan kami 95 peratus adalah berketurunan Melayu,” cerita Pengarah Happy2u itu.

Keselesaan

Sejak ditubuhkan pada tahun 2009, Happy2u dikenali sebagai laman web yang menyediakan platform pembelian pelbagai pilihan kasut secara online khusus untuk wanita.

Di samping membeli-belah secara online, para pelanggan juga boleh terus ke butik mereka yang terletak di Taman Teknologi Cheng, Melaka.

“Kasut-kasut yang didatangkan khas dari China ini sangat mementingkan keselesaan penggunaan dan rekaan menarik.

“Saya cuba memenuhi cita rasa pelanggan yang ingin mendapatkan sepatu sempurna dan selesa dengan memilih material terbaik,” tambah anak sulung daripada dua adik-beradik itu.

Sehubungan itu, dia menggunakan material seperti poliuretana yang melalui proses pembuatan sangat baik sehingga menyerupai kulit asli.

Madelyn turut menggunakan material suede yang menjadi pilihan para pelanggan kerana ia mempunyai daya tahan sangat tinggi terutamanya kerosakan akibat air serta kotoran.

Ujarnya lagi, kebanyakan para pelanggan Happy2u menginginkan kasut yang ringkas dan selesa tetapi masih kelihatan anggun apabila dipakai.

Namun, rekaan dengan konsep seperti itu banyak didapati di luar negara terutamanya China.

“Saya cuba meneroka pasaran di negara itu walaupun pada mulanya agak risau dengan perbelanjaan yang bakal ditanggung terutamanya bagi kos penghantaran kerana setiap pembelian adalah dari luar negara.

“Namun, kami berjaya mendapatkan harga dan penghantaran dengan kadar yang lebih rendah kerana pembelian dilakukan secara pukal,” tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kewangan dari Universiti Sunway, Subang Jaya, Selangor.

Menurut Madelyn, majoriti pelanggan mereka menggemari wedges iaitu sejenis kasut dengan tapak yang lebar kerana ia lebih selesa dan stabil apabila dipakai berbanding dengan kasut tumit tinggi.

Harga

“Saya sentiasa menasihati para pelanggan agar membeli kasut berwarna biasa dengan reka bentuk yang ringkas agar mudah disuai padankan dalam apa jua persalinan.

“Warna yang sering mendominasi pilihan kasut di laman web Happy2u sudah semestinya hitam kerana ia sesuai digandingkan dengan apa jua penataan gaya,” terangnya.

Pilihan koleksi kasut yang terdapat di laman Happy2u menawarkan harga yang berpatutan iaitu bermula RM40 sehingga RM89.

Selain membeli kasut itu di laman web mereka sendiri, jenama tersebut juga boleh didapati di beberapa pusat jualan online seperti Zalora, FashionValet dan 11Street dengan tawaran harga yang berpatutan tetapi masih mengekalkan kualiti tinggi.

Berkongsi perancangan pada masa akan datang, Madelyn akan tampil dengan kasut jenama sendiri yang dikenali sebagai Madel.C.

Para pelanggan boleh melayari laman webnya, www.Happy2u.my atau laman sosial untuk melihat pelbagai koleksi kasut yang menarik.

Meluaskan lagi perniagaannya, Madelyn turut menjual pakaian wanita. Pelbagai aksesori lain seperti kaca mata, beg dan topi turut dipaparkan di laman web Happy2u.