Memahami situasi tersebut, perkhidmatan spa bergerak, Sentuh menawarkan rawatan tersebut terus ke rumah, hotel atau pejabat di samping mengekalkan pengalaman mewah seperti di pusat rawatan kecantikan.

Pelanggan hanya perlu membuat tempahan yang mudah dan cepat di laman web www.sentuh.my.

Sentuh juga bakal melancarkan aplikasi khas di telefon pintar pada awal tahun hadapan.

Ahli terapi akan mendapat notifikasi tempahan dan maklumat seperti lokasi, masa dan jenis perkhidmatan.

Seterusnya, ahli terapi akan mengesahkan tempahan dan bersedia dengan kelengkapan spa untuk menuju ke tempat pelanggan.

Menurut pengasasnya, Ahmad Aizudin Ahmad Anuar, Sentuh mula beroperasi secara rasmi pada September lalu dengan menawarkan perkhidmatan penjagaan kulit muka dan urutan badan di sekitar Lembah Klang.

“Seiring perkembangan teknologi, kami komited untuk membawa inovasi dalam industri yang melibatkan ahli terapi menerusi platform sebegini.

“Pengguna hanya membuat tempahan di hujung jari dan perkhidmatan spa bergerak terus ke tempat anda,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Majlis Pelancaran Sentuh di 3 Towers, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, Sentuh juga membuka peluang pekerjaan dan melatih sesiapa sahaja yang berminat menjadi seorang ahli terapi profesional dengan menyediakan latihan lengkap serta berterusan.

Fleksibel

Ujar Ahmad Aizudin, Sentuh ingin mengubah persepsi masyarakat mengenai kerjaya sebagai ahli terapi atau tukang urut yang sebenarnya berpotensi besar apatah lagi mendapat permintaan tinggi.

Menariknya, Sentuh boleh dijadikan pekerjaan sampingan kerana masa bertugas sangat fleksibel mengikut kelapangan waktu ahli terapi.

Bagi memastikan keselamatan ahli terapi, pengguna perlu terlebih dahulu mendaftar di laman web dengan mengisi maklumat penting seperti nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat.

Sistem akan membuat tapisan untuk memastikan lokasi itu benar-benar selamat dikunjungi oleh ahli terapi.

Jelas Ahmad Aizudin, pihaknya juga merancang untuk memperluaskan perkhidmatan Sentuh ke beberapa lokasi lain dan menawarkan perkhidmatan baharu seperti bekam, solekan, rambut, fisioterapi dan urutan sukan.

Sementara itu, pengasas bersama Sentuh, Ain Nadia Yusoff berkata, Sentuh menyasarkan 100 orang ahli terapi pada 2019 dan komited untuk melatih ahli terapi muda dalam kalangan B40.

“Kami ingin membantu mereka menambah pendapatan dan membina kerjaya baharu sebagai ahli terapi profesional.

“Mereka yang ingin menjadi ahli terapi Sentuh perlu menyediakan modal serendah RM1,500 yang merangkumi kos latihan, peralatan dan produk,” ujarnya yang berpengalaman 10 tahun mengusahakan spa.

Istimewanya, bagi 100 orang terawal yang mendaftar sebagai ahli terapi tersebut akan berpeluang menerima bantuan dan pembiayaan daripada Sentuh