Pada tahun 1990-an, terrarium mula dibawa ke Malaysia dan ia semakin popular sebagai hobi serta dijadikan hiasan dalam rumah dan pejabat.

Jabatan Pertanian menerusi Seksyen Florikultur, Bahagian Padi, Tanaman Industri Florikultur memainkan peranan penting demi memastikan kelangsungan bidang landskap di negara ini sentiasa berkembang dan diperluaskan dari segi keperluan penggunaan teknologi baharu serta kemahiran-kemahiran berkaitan.

Seiring dengan peranan itu, Jabatan Pertanian ingin membawa pembaca secara lebih dekat lagi dengan alam semula jadi ke dalam rumah terutamanya bagi penduduk bandar serta menyediakan bimbingan secara teknikal kepada pembaca untuk mempelajarinya.

Pemilihan tanaman

Pemilihan tanaman yang sesuai merupakan perkara penting dalam pembinaan terrarium.

Tanaman kecil dan mempunyai pertumbuhan perlahan merupakan tanaman yang paling sesuai.

Pemilihan tanaman yang mempunyai keperluan yang sama dari segi penerimaan cahaya, suhu dan kelembapan juga perlu diambil kira.

Contoh-contoh tanaman hiasan yang sesuai digunakan untuk pencahayaan rendah adalah aglaonema, dracaena dan calathea.

Selain itu, tanaman bagi keperluan cahaya yang sederhana adalah anthurium, asplenium dan sphagnum.

Akhir sekali, tanaman yang memerlukan pencahayaan yang tinggi termasuk begonia, kaktus dan sakulen.

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan penanaman terrarium, pilih jenis pokok udara seperti tillandsia, ionantha dan caput.

Keadaan ini disebabkan ia tidak memerlukan tanah dan lebih mudah diselenggara iaitu tanpa penyiraman yang kerap disebabkan oleh trichomes pada daun berupaya menyerap nutrien serta air melalui udara.

Proses penanaman

Tanaman disusun berdasarkan kepada saiz dan tabiat pertumbuhannya. Sekiranya terrarium dilihat dari satu arah sahaja, pokok-pokok yang tinggi hendaklah diletakkan di bahagian belakang, namun jika dilihat dari semua arah, ia hendaklah diletakkan di bahagian tengah.

Penyusunan tanaman hendaklah dilakukan dengan cermat dan elakkan terlalu padat. Hiasan seperti batu-batu kecil yang berwarna, kepingan kecil kayu, lumut dan pasir serta mini atur hiasan boleh ditambah mengikut kreativiti masing-masing.

Penyusunan mini atur hiasan pada kedudukan yang sesuai dapat menyerlahkan lagi penampilan landskap taman mikro yang dihasilkan.

Akhir sekali, tanaman hendaklah disiram dengan menggunakan alat penyembur. Ia merupakan cara yang mudah dan pastikan tanah agak lembap tetapi tidak terlalu basah.

Terrarium tidak boleh disiram secara berlebihan kerana ia akan menyebabkan akar mereput dan akhirnya mati.

Penyiraman perlu mengikut keperluan tanaman terutamanya penanaman di dalam bekas yang tertutup. Pembajaan pula hendaklah dilakukan sebulan sekali bagi membolehkan pokok-pokok di dalam terrarium tumbuh dengan subur.

Daun dan ranting yang gugur perlu dibuang sebelum ia mula mereput. Akhir sekali, elakkan terrarium diletakkan di kawasan yang terdedah kepada cahaya matahari kerana ia boleh menyebabkan daun-daun tanaman melecur atau kelihatan seperti terbakar.

Terrarium semakin diminati kerana penyelenggaraannya adalah minimum, penyiraman hanya perlu sekali dalam seminggu, penjimatan ruang dan kini ia termasuk dalam hiasan moden terutamanya bagi terrarium yang digabungkan dengan penggunaan lampu.