Masjid yang menjangkau usia 108 tahun itu menjalani proses pemuliharaan semula yang diterajui firma seni bina, ATSA Architects bagi memastikan keutuhan bangunan warisan tersebut mampu bertahan selama 100 tahun lagi.

ATSA Architects turut bekerjasama dengan arkitek Masjid Negara, Datuk Dr. Ar. Baharuddin Abu Kassim, Politeknik Ungku Omar dan Jawatankuasa Masjid Teluk Memali-Bougainvillea untuk memberi nafas baharu kepada binaan klasik itu.

Pihak lain yang terlibat dalam usaha itu termasuklah Jabatan Mufti Negeri Perak, MAIPk, Majlis Bandaraya Ipoh serta Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah.

Kini, ia digunakan komuniti Islam tempatan di Taman Seri Bougainvillea di Bandar Seri Botani, Ipoh, Perak.

Proses pemulihan menggunakan struktur asal dengan mengekalkan hasil seni bina dan keunikan yang ada pada masjid itu bagi membolehkan nilai kesenian yang dimiliki tidak luput ditelan zaman.

Masjid yang terbiar sejak 20 tahun itu dibina pada tahun 1910.

Dahulunya, ia terletak berhampiran tebing Sungai Perak di Kampung Gajah, Perak Tengah yang pernah dinaiki air akibat banjir.

Terletak di kawasan terpencil yang dikelilingi ladang kelapa sawit, ia juga tidak dikunjungi kerana keadaannya yang uzur selain berlaku perpindahan penduduk dari kawasan tersebut.

Pewartaan

Masjid tersebut turut memiliki bangunan tambahan seperti balai lintang, kolah wuduk dan bangunan tandas.

Boleh menampung seramai 150 jemaah pada satu-satu masa, ia dimanfaatkan oleh masyarakat setempat sebagai surau untuk solat harian dan solat sunat secara berjemaah pada bulan Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif ATSA Architects, Ar. Azim A. Aziz berkata, masjid tersebut sedang dalam proses permohonan pewartaan status warisan kepada pihak Jabatan Warisan Negara.

“Menerusi perasmian serahan bangunan ini, urusan pengurusan dan penyelenggaraan masjid bersejarah ini akan terletak di bawah pengawasan pihak MAIPk sebagai pemilik tanah manakala jawatankuasa masjid selaku pengguna bangunan.

“Masjid berkenaan juga telah menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan masjid tersebut di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) MAIPk, Mohd. Haidi Sulaiman dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kampung Teluk Memali-Seri Bougainvillea, Jamil Mohamed.

Katanya, sebagai satu usaha yang tidak melibatkan keuntungan, segala kos pembinaan dalam usaha pemuliharaan Masjid Kampung Teluk Memali merupakan hasil sumbangan pelbagai syarikat, organisasi dan individu terutamanya mereka yang prihatin dan menyayangi warisan tradisional Melayu.

Azim yang juga penulis buku Selected Mosques and Musollas in Malaysia berharap, usaha yang dijalankan pihaknya akan menjadi pencetus dan membuka jalan kepada banyak lagi usaha pemuliharaan bangunan bersejarah serta tapak warisan di negara ini.