Ada yang memilih lukisan sebagai kanvas untuk menzahirkan idea, tidak kurang juga yang berusaha keras mencorak arca menggunakan pelbagai cara untuk mengetengahkan maksud-maksud tertentu.

Bagi seorang artis seni tempatan kelahiran Kuching, Sarawak, Anniketyni Madian, 31, beliau mempunyai cara yang tersendiri untuk meluahkan rasa hati yang terbuku di dalam dirinya.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Anniketyni memilih untuk berkarya menerusi seni arca kayu.

Menurutnya, seni arca kayu mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan mampu menjadi daya penarik kepada orang ramai untuk meminati seni dan menghargai karya yang dihasilkan.

“Saya memilih kayu sebagai medium utama untuk menghasilkan arca kerana ia merupakan sumber alam yang tidak ternilai harganya.

“Di negara ini, tidak ramai wanita yang terlibat sebagai pengukir arca dan jika ada pun, tidak ramai yang terus aktif berkarya.

“Melihat kepada hakikat tersebut, saya mengambil keputusan untuk terus memberi tumpuan dan minat saya untuk menghasilkan arca kayu kerana ia mampu menjadi satu cara untuk bermeditasi demi kepuasan diri,” katanya.

Jelas beliau lagi, sejak aktif berkarya bermula tahun 2008, beliau telah menghasilkan kira-kira 70 arca kayu pelbagai bentuk dan saiz dengan motif yang pelbagai.

Kepelbagaian

Namun katanya, daripada kesemua karya tersebut, 12 dipilih untuk dipamerkan di Artcube Gallery yang terletak di Pusat Beli-belah Intermark, Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur bermula November lalu.

Jelas Anniketyni lagi, kesemua karya dengan tema bejampong, perkataan yang berasal daripada bahasa Iban yang bermaksud kepelbagaian yang dipamerkan itu telah dihasilkan sejak Januari lalu dengan menggunakan pelbagai jenis kayu, antaranya cengal, meranti merah, resak dan balau.

“Kesemua 12 karya yang dipamerkan di galeri ini bermotifkan pua kumbu iaitu corak tekstil yang berasal dari Sarawak.

“Saya memilih motif tersebut bagi mengetengahkan elemen tradisional di dalam karya terbaharu saya yang digabungkan dengan elemen kontemporari.

“Arca kayu juga mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk menarik orang ramai meminati seni kerana ia sangat unik,” katanya dengan memberitahu, ia merupakan pameran solo kedua baginya yang dijalankan di galeri tersebut sepanjang sembilan tahun bergelar artis seni.

Tambah beliau, sebahagian besar arca tersebut dihasilkan dalam bentuk tiga dimensi dengan karya bertajuk kayu betimbau merupakan antara yang paling sukar untuk dihasilkan kerana ia memerlukan ketelitian yang sangat tinggi.

Dalam pada itu, Pengurus Artcube Gallery, Amir Amin berkata, pihaknya memilih untuk bekerjasama dengan Anniketyni kerana beliau merupakan antara pengukir arca wanita yang masih aktif berkarya di negara ini.

“Jika dilihat kepada karya yang dihasilkan oleh beliau, ia jelas memberi gambaran kepada kita bahawa kesemuanya dihasilkan dengan begitu halus sehingga menampakkan kesempurnaannya.

“Boleh dikatakan, setiap hasil seni beliau mempunyai maksud yang tersendiri dan ia dihasilkan dalam bentuk yang sangat unik.

“Oleh itu, tidak hairanlah jika kesemua karya tersebut mempunyai tanda harga antara RM38,000 hingga RM65,000 setiap satu kerana ia merupakan karya yang sangat halus,” katanya.

Menurut Mohd. Kamal lagi, pameran tersebut telah bermula sejak 16 November lalu dan akan diteruskan sehingga 31 Disember ini.