SARAWAK bukan sahaja kaya dengan sumber alam semula jadi tetapi jumlah penduduk yang kini mencecah 2.8 juta orang menjadi aset terbaik dalam bentuk sumber tenaga manusia.

Daripada angka itu, dianggarkan sebanyak 20 peratus berusia 20-an.

Pengarah Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), Yazid Awalludin berkata, sumber tenaga manusia Sarawak merupakan aset yang boleh memberikan pulangan ekonomi kepada negara jika dilatih secara berstruktur.

“Sejak selepas merdeka, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur untuk memastikan kelangsungan pertumbuhan serta pembangunan negara.

“Penyediaan peruntukan meningkat pada setiap tahun dalam pelbagai sektor. Tidak ketinggalan dalam sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Sehingga 7 Mei lalu, Jabatan Pembangunan Kemahiran di Kementerian Sumber Manusia telah membangunkan sebanyak 1,829 buah dokumen Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan atau NOSS,” katanya pada seminar Peningkatan Kualiti dan Produktiviti Kerja Melalui Penggunaan NOSS di Kuching Sarawak baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Standard NOSS, Pendi Said.

Bengkel yang dihadiri 50 syarikat tempatan itu adalah untuk memberi pendedahan kepada penggiat industri agar mengguna pakai NOSS dalam syarikat masing-masing.

Jelas Yazid, NOSS adalah suatu dokumen yang menggariskan keterampilan yang diperlukan oleh seseorang pekerja mahir yang bekerja di Malaysia bagi sesuatu bidang dan tahap pekerjaan tertentu.

“NOSS dibangunkan sejajar dengan peruntukan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652).

“Pembangunan dokumen ini melibatkan pakar industri dan pengajar latihan kemahiran dalam bidang berkaitan.

“Dokumen standard pekerjaan ini telah dikategorikan atau disusun letak merujuk kepada Malaysian Standard of Industrial Classification (MSIC) atau Piawaian Klasifikasi Industri Malaysia. Terdapat 21 sektor MSIC sepertimana panduan daripada Jabatan Statistik Malaysia,” kata Yazid.

Tambahnya, dokumen NOSS bukan sahaja digunakan untuk latihan tetapi ia boleh diguna pakai sebagai panduan skop kerja terutamanya ketika membuat penilaian pencapaian prestasi tahunan pekerja.

Yazid menambah, perlaksanaan NOSS di tempat kerja oleh para penggiat industri merekodkan kecekapan produktiviti.

Pada masa sama, ia mengurangkan kos terutamanya melalui pekerja yang berkemahiran tinggi.

“NOSS boleh digunakan di pusat bertauliah atau latihan perintis melalui Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) atau Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

“Sekiranya pelajar mengambil skim SLDN, maka mereka tidak perlu ke kolej kerana semua latihan dibuat di tempat kerja dan mereka akan memperoleh sijil kemahiran sehingga tahap Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) tanpa perlu ke kolej,” jelasnya.

Pekerja mahir

Tambahnya lagi, para pelajar perintis yang menyertai SLDN akan bekerja seperti biasa manakala semua kos pengajian mereka ditanggung majikan.

Sementara itu, seorang peserta seminar yang mengusahakan bengkel membaiki kereta, Amy Bong berkata, dia mahu lebih banyak sokongan terutamanya dalam peningkatan kemahiran pekerjaan.

“Di Sarawak, kami tak ada masalah sumber tenaga manusia tetapi kami ada masalah pekerja mahir terutamanya dalam industri membaik pulih kenderaan selepas kemalangan.

“Saya lihat NOSS ini sangat terperinci dan kami berharap pihak JPK akan dapat memberikan sokongan di Sarawak,” katanya.

Seorang lagi peserta, Jimbai Undik berkata, industri memproses kelapa sawit di Sarawak memerlukan pekerja mahir yang ramai.

“Saya lebih berminat dengan SLDN kerana ia akan mengurangkan kos mendapatkan pekerja mahir dan kami boleh melatih mereka mengikut keperluan operasi syarikat.

“Ramai penggiat industri tidak menyedari JPK ada program SLDN dan PPT. Sesi penerangan hari ini benar-benar membuka mata saya terhadap fungsi NOSS yang selama ini saya fikir terhad kepada latihan di kolej sahaja,” ujarnya.

Major Chelree yang mengetuai pusat jagaan anak-anak yatim pula berkata, dia berharap anak-anak yatim di bawah jagaannya meneruskan latihan dalam program SLDN.

“Kami mahu anak-anak ini meneruskan hidup berdikari dengan standard kemahiran tertentu tanpa perlu mengeluarkan belanja besar.

“Mereka tidak ada ibu bapa, jadi sudah tentu program SLDN pilihan terbaik. Mereka bekerja dan boleh mendapat sijil sehingga taraf diploma lanjutan. Apa yang penting ialah mereka tak berhutang selepas tamat diploma,” katanya.