Bagi menghadapi kedua-dua aksi tersebut, Cheng Hoe membawa masuk lapan pemain skuad B-23 negara. Harimau Malaya bakal memulakan aksi persahabatan menentang Taiwan di Sta­dium Municipal, Taipei City hari ini sebelum berdepan Kemboja di Stadium Nasional Sports Complex Isnin depan.

Cheng Hoe merasakan ia adalah permulaan yang baik buat pasukan kendaliannya apabila beliau melihat skuad B-23 negara sebelum ini berjaya menunjukkan aksi cemerlang terutamanya ketika berdepan Korea Selatan dengan mencatatkan kemena­ngan 2-1 dalam saingan pe­ringkat kumpulan.

“Biarpun kejayaan itu adalah daripada skuad B-23 ketika beraksi di Indonesia, namun ia adalah satu permulaan yang bagus kepada pemain untuk berdepan Taiwan.

“Saya telah membawa lapan pemain daripada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk turut bersama pasukan di sini (Taiwan) dan ia adalah satu motivasi yang bagus kepada pasukan.

“Bagaimanapun, saya tetap sedar aksi kali ini bukanlah mudah buat kami untuk berdepan Taiwan biarpun semua pemain berada pada tahap terbaik,” katanya pada sidang akhbar di Taiwan semalam.

Dua aksi persahabatan kali ini diadakan adalah sebagai usaha mempersiapkan pasukan negara sebelum memulakan kempen kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) November depan.

Sementara itu, kapten pasukan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak mengharapkan semua pemain dapat melakukan yang terbaik terutamanya untuk memperbaiki ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila berdepan dua aksi persahabatan kali ini.

“Saya dan semua pemain cuba melakukan yang terbaik untuk mencatat kemenangan pada perlawanan kali ini dan yang paling penting adalah untuk memperbaiki ranking pasukan,” ujarnya.