Memasuki tahun kelima penganjurannya, program tersebut yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan, Honda Malaysia dan Michelin Malaysia Sdn. Bhd. akan berlangsung di tujuh buah IPT terpilih sepanjang tahun dengan UTM Space Kuala Lumpur telah dipilih sebagai lokasi pertama.

Ketua Keselamatan, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Korporat Petron, Lokman Hani berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan seramai 5,000 pelajar bagi keseluruhan siri program tersebut.

“Kami dengan sukacitanya membawakan sekali lagi program kesedaran keselamatan jalan raya yang merupakan program advokasi terbesar dan paling lama dilaksanakan oleh kami dengan melibatkan tujuh buah universiti pada tahun ini.

“Objektif kami adalah untuk mendidik dan menyemai cara pemanduan yang baik dan kemahiran keselamatan jalan raya yang penting kepada orang ramai terutamanya dalam kalangan orang muda dan pelajar IPT,” katanya pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah JKJR Malaysia, Datuk Roslan Eusoff.

Menurut Lokman, berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, kempen tersebut dilaksanakan dengan menggunakan kaedah amazing race yang memberi lebih keseronokan kepada setiap peserta.

Melalui kaedah itu katanya, peserta akan melakukan beberapa tugasan secara berkumpulan, sekali gus dapat memahami maklumat penting berkaitan keselamatan jalan raya dengan lebih mudah dan cepat.

Sementara itu, Roslan berkata, usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.

“Keselamatan jalan raya menjadi keutamaan kerajaan dan komitmen ini disokong dengan pengenalan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020.

“Malaysia telah mencatat purata 6,800 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun sejak 10 tahun lalu.

“Walaupun jumlah itu berjaya dikurangkan daripada 7,152 kematian pada tahun 2016 kepada 6,740 kematian pada tahun 2017, namun masih banyak yang perlu dilakukan kerana kajian menunjukkan punca utama kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh sikap buruk pemandu dan pengguna jalan raya sendiri,” katanya.