Banyak artifak dan peninggalan berkaitan sumbangan Islam terdapat di seluruh dunia termasuk di negara-negara Barat. Peninggalan Islam ini turut menarik minat bukan Islam untuk mengkaji dan membandingkannya dengan ilmu sains.

Bahkan, hasil kajian mereka mendapati, al-Quran dan ilmu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW ternyata mendahului zamannya.

Justeru, penganjuran Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Sahabat RA pada 22 Julai hingga 4 Ogos lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) amat bertepatan dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda.

Festival anjuran Manhajj Brothers Sdn. Bhd. itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari segi kehadiran pengunjung yang ingin melihat sendiri artifak peninggalan Nabi Muhammad SAW.

Antara artifak yang boleh dilihat ialah rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat, bekas air zam zam, pasir makam Rasulullah SAW dan kunci makam tersebut.

Artifak lain ialah pedang Muaz bin Jabal, pedang Sultan Al-Fatih, Kiswah Kaabah Merah, Kiswah Kaabah Hijau dan kunci Makam Saiditina Fatimah. Turut dipamerkan, senjata dan kelengkapan perang peninggalan Kerajaan Uthmaniah.

Pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat menarik berkaitan semua artifak yang dipamerkan antaranya sirah Rasulullah, peristiwa peperangan dalam sejarah Islam, gerakan penyebaran Islam serta maklumat tentang para sahabat.

Menurut Pengarah Projek pameran tersebut, Razali Bachik, penganjuran pameran itu adalah satu langkah yang positif dalam memberi pendedahan serta menambah pengetahuan mereka tentang Islam kepada golongan muda termasuk pelajar sekolah.

Pendidikan

“Ini merupakan satu usaha yang baik dalam menarik minat pengunjung supaya lebih mengenali sejarah Rasulullah serta Islam menerusi pameran artifak yang sarat dengan maklumat berkaitan.

“Peluang ini membolehkan pengunjung mendekatkan diri dan meningkatkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad. Pengunjung pasti teruja dapat melihat sendiri artifak ini di depan mata,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Razali menambah, pameran tersebut yang memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sendiri artifak yang menjadi rakaman sejarah kehidupan dan perjuangan Baginda.

Beliau berkata, pameran yang memasuki penganjuran kali ke-10 bermula tahun 2009 berkenaan bermatlamat untuk memberi pendidikan, sumber inspirasi dan pengetahuan kepada pengunjung mengenai kegemilangan tamadun Islam.

Program ini pernah menjelajah ke luar negara seperti Brunei, Singapura selain Padang dan Medan di Indonesia.

Pameran tersebut mendapat sokongan penuh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan dirasmikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.