Tambahan pula, kesemua menu itu boleh dinikmati pada bila-bila masa.

Terletak di lokasi strategik di bandar Pontian, Johor, restoran yang menampilkan makanan tradisi orang Melayu dan Bugis itu pasti menjanjikan satu memori yang indah.

Meskipun menu yang disaji merupakan juadah istimewa apabila tibanya hari raya, pengusahanya, Farha Mohd. Sabri, 30, tampil dengan idea berani untuk mencari kelainan cita rasa dalam menjalankan bisnes berasaskan makanan.

Menurut Farha, burasak, ketupat dan lepat loi tidak lengkap jika tidak dihidangkan bersama lauk-pauk tradisional.

“Maka, kami sajikan makanan tradisi orang Melayu dan Bugis dengan variasi lauk antaranya daging dan ayam rendang, kari kambing, asam pedas ikan parang, serunding serta sayur masak lodeh dan sambal kacang.

“Paling istimewa adalah menu daging dan ayam ungkep yang sangat sinonim dengan orang Bugis. Ia dimasak dengan penuh kasih sayang oleh ibu, Faridah Hanim,” katanya kepada Kosmo! di Pontian baru-baru ini.

Farha berkata, idea untuk menghidangkan menu masakan tradisi itu bermula daripada susur galur ibunya, Faridah, 49, dan bapanya, Mohd. Sabri Ali, 54, yang mempunyai darah keturunan Melayu-Bugis yang mula menjual juadah tersebut sejak 20 tahun lalu.

Bualan penduduk

Ujar Farha, bagi mengekalkan keaslian rasa dan kualiti sajian, lauk-pauk itu dimasak sendiri oleh ibunya.

Ia bagi menterjemahkan rasa yang begitu enak sehingga menjadi bualan penduduk tempatan.

Pelanggan mereka bukan sahaja terdiri daripada penduduk sekitar bahkan ada yang datang dari luar Pontian termasuk Singapura.

“Soal harga, pelanggan tidak perlu risau, kami menyediakan pakej yang sangat berpatutan. Burasak, ketupat dan lepat loi hanya RM1.50 sebiji manakala harga menu lauk pula dijual serendah RM4 semangkuk,” katanya.

Tambah Farha, lebih 600 biji burasak, ketupat dan lepat loi habis dijual pada setiap hari, malah jika ada tempahan ia boleh mencecah sehingga 1,500 biji.

Menurut gadis itu, pihaknya turut menyediakan ruang untuk acara atau majlis keraian di tingkat atas restorannya yang boleh menempatkan 60 orang dalam satu-satu masa.

‘‘Jika ada rezeki lebih, kami juga bercadang untuk membuka cawangan baharu terutamanya di Johor Bahru kerana ramai pelanggan yang hadir minta kami buka cawangan di sana,” katanya.