Rangkaian Me’nate di Setapak, Bangi, Ampang, Shah Alam di Selangor serta Johor Bahru kali ini turut menawarkan menu kambing golek secara bufet.

Ketua Pegawai Eksekutif, Syed Ashraf Syed Ali berkata, pakej bufet kambing golek itu ditawarkan bersama menu makanan tempatan lain seperti nasi briyani, nasi tomato, mi kari, laksa, mi atau kuetiau goreng dan pencuci mulut kuih-muih tempatan.

Katanya, setiap menu itu disediakan oleh cef-cef berpengalaman dengan kesemua hidangan mengikut kepelbagaian cita rasa para pelanggan yang sering berkunjung ke Me’nate. 
 “Secara keseluruhannya terdapat 40 hidangan makanan tempatan dan Barat disajikan kepada para pelanggan sepanjang Ramadan ini.

“Menariknya, pakej bufet Ramadan ini sangat berpatutan dan berbaloi iaitu hanya RM79.90 untuk dewasa dan RM39.90 untuk kanak-kanak. Bagi kanak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah tidak dikenakan bayaran,” katanya ketika prapelancaran menu bufet Ramadan baru-baru ini.

Syed Ashraf berkata, bagi pelanggan yang tidak dapat menyertai bufet Ramadan untuk berbuka puasa juga tidak perlu khuatir disebabkan sajian stik dan makanan Barat di Me’nate masih disediakan menerusi ala carte selepas pukul 8.30 malam.

Ujar Syed Ashraf lagi, kelainan dan keistimewaan Ramadan tahun ini juga adalah Me’nate memperkenalkan pakej makanan Barat premium iaitu hidangan keluarga.

“Kita menyediakan dua jenis paket iaitu set A keluarga premium dan set B keluarga super premium dengan setiap set tersebut untuk hidangan bagi lima hingga enam orang.

“Terdapat 11 menu bagi setiap hidangan keluarga ini dengan pelanggan diberikan akses percuma hidangan bufet pemanis mulut,” katanya.

Jelasnya, harga bagi keluarga premium adalah RM450 dan keluarga super premium berharga RM650.

Orang ramai juga tidak perlu bimbang untuk bersolat berikutan setiap cawangan Me’nate menyediakan surau demi keselesaan menunaikan kewajipan itu.

Orang ramai yang ingin menikmati bufet Ramadan, boleh menghubungi cawangan-cawangan Me’nate untuk membuat tempahan.