Selain terkenal sebagai salah satu lokasi pelancongan dan budaya unik, Padang sangat dikenali warga Asia Tenggara dengan keenakan masakannya.

Masakan Padang amat sinonim dengan kepedasan cili dan penggunaan santan dalam setiap hidangannya.

Hotel Concorde, Kuala Lumpur kini menawarkan seleksi sajian tradisi Nasi Padang sehingga 30 November ini di Melting Pot Cafe.

Menurut Junior Cef Sous, Hotel Concorde, Kuala Lumpur, Rogayah Sharif, terdapat 14 hidangan istimewa dari Padang dan enam daripadanya merupakan menu pencuci mulut.

“Setiap hari pelanggan dihidangkan dengan menu berlainan yang disediakan dalam tiga set berbeza mengikut hari.

“Kami mengekalkan keaslian masakan Padang tetapi mengurangkan sedikit kepedasan bagi memenuhi cita rasa tempatan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Dendeng

Antara hidangan lauk-pauk yang disediakan ialah ayam pop, dendeng, kalio ayam, cumi balado, sup tulang rusuk, gulai jariang pucuk ubi, gulai ikan lado api, taruang (terung) berlado dan gulai sayur kapau.

Pencuci mulut pula termasuklah godok batinta, kolak pisang, badak berendam, onde-onde dan bubur pulut hitam.

Jelasnya yang berpengalaman 17 tahun dalam bidang kulinari, kodok batinta ialah cekodok pisang yang disira dengan gula merah yang dicairkan.

Tambahnya, antara menu istimewa yang perlu dicuba ialah daging dendeng.

“Ia menggunakan bahan-bahan seperti bawang putih, bawang merah, halia, serai, jintan manis, jintan putih ketumbar, lengkuas.

“Bahan-bahan itu dikisar halus dan digaulkan dengan daging yang dipotong halus kemudian distim sehingga empuk,” terang anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Selain itu, ayam pop juga merupakan hidangan istimewa yang perlu dicuba.

Untuk menyediakan ayam pop, pihaknya menggunakan ayam kampung yang direbus dengan air kelapa bagi melembutkan isinya.

Ayam tersebut direbus sehingga empuk selama 20 minit hingga setengah jam dan dibiarkannya sejuk selama 10 minit sebelum diperap dengan rempah selama sehari.

Di samping menikmati hidangan lazat, pelanggan turut disajikan dengan persembahan kumpulan Begema 5.

Melting Pot cafe boleh memuatkan 250 orang pada satu-satu masa dan beroperasi dari pukul 6 petang hingga 10 malam.