Justeru, kafe dengan dekorasi minimalis itu menjadi lokasi pertemuan ideal yang cukup selesa bersama rakan-rakan dan ahli keluarga pada waktu senggang.

Pemiliknya, Ahmad Faizry Mohamed, 42, bercerita, TFKL muncul selepas setahun beliau mengusahakan perniagaan rempah-ratus, ramuan perapan dan bahan-bahan perasa yang diimport dari Itali, Amerika Syarikat dan India selain diperoleh daripada pembekal tempatan.

“Bahan-bahan perasa yang terdapat dalam bentuk cecair dan serbuk itu sebelum ini dibeli oleh pengusaha makanan dan minuman selain digunakan untuk produk kosmetik.

“TFKL merupakan manifestasi terjemahan rasa, lanjutan daripada bisnes awal tersebut menerusi lebih 20 menu yang diketengahkan dengan kebanyakannya berkonsep fusion,” ujarnya ketika ditemui K2 di premis berkenaan baru-baru ini.

Anak kelahiran Terengganu tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur itu sejak zaman kanak-kanaknya gemar bertanya kepada ibunya, Sharifah Chemara, 69, bagaimana cara sesuatu masakan disediakan.

Graduan jurusan juruukur bahan dari Universiti Teknologi Malaysia, Johor itu sebenarnya sudah mula berniaga makanan secara kecil-kecilan di dalam kampus dengan menjual hot dog yang dimasak menggunakan air fryer.

Resipi-resipi yang dipelajari daripada ibunya diolah mengikut cita rasanya sendiri misalnya, masak gulai ayam kicap yang pada mulanya ditumis seperti masakan kari dan kemudiannya dimasak sehingga menjadi berkuah pekat sebelum diletakkan kicap.

Signatur

Juadah unik tersebut ada ditawarkan di TFKL di samping hidangan signatur lain seperti aneka masakan kepah misalnya lemon krim, lemon halia masam manis dan krim cili yang boleh digandingkan dengan spageti atau roti bawang putih.

Terdapat juga ayam tumis, daging bakar masak lemak yang boleh dimakan bersama nasi dan sambal belacan bagi mereka yang menggemari masakan ala rumah.

Memberi keutamaan kepada rasa yang mewah dan pelbagai, satu daripada menu yang diminati ramai ialah burger Swiss Supreme seberat 150 gram.

Ia mengandungi 100 peratus daging lembu dari Australia selain dilapisi telur, onion ring, salad, cendawan berkrim berserta tiga jenis sos di samping dihidangkan bersama kentang goreng.

Kesemua hidangan dijual serendah RM5 hingga RM65 dengan hidangan paling istimewa ialah kutlet kambing yang diperap selama tiga hari dengan bahan rahsia sebelum dibakar dalam ketuhar.

Ahmad Faizry menambah, kafe TFKL turut berperanan sebagai dapur utama yang menjadi tempat untuk dia dan seorang lagi tukang masak menyediakan 100 pek makanan tengah hari yang dijual menggunakan trak makanan di sekitar Kuala Lumpur.

“Trak makanan yang dijenamakan Mambang Box kami lebih dikenali ramai menerusi minuman signatur TFKL iaitu Teh Tarik Ais Legend, latte dan soda bandung.

“Keistimewaan minuman botol berkenaan terutamanya teh tarik ialah ia pekat selain turut dicampur dengan susu segar sebelum ditarik dan disimpan di dalam peti sejuk selama sehari sebelum dijual,” kongsi bapa kepada empat cahaya mata itu.