Begitu pun, tidak banyak restoran yang mengetengahkan selera asli negara yang diberi jolokan 
Gajah Putih itu menepati lidah pencinta gastronomi tempatan.

Boleh dikatakan, kebanyakannya menyajikan hidangan seperti tomyam yang hanya pedas di lidah semata-mata namun rasanya itu tidak sehebat mana.

Bahkan, dari segi keadaan kedai sendiri ia tidak begitu diberi penekanan oleh sebahagian pengusaha restoran.

Bagaimanapun, sebuah restoran yang terletak di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor iaitu Restoran Othai membuktikan sebaliknya apabila mengetengahkan definisi baharu selera Thailand.

Menurut pengasasnya, Bonma Keloai, Restoran Othai menampilkan sehingga 120 seleksi menu dengan resipi asli dari negara Thailand.

Katanya, kekuatan Restoran Othai terletak pada penyediaan rempah ratus lagi sebelum hidangan itu dimasak di atas kuali.

“Setiap rempah dan ramuan termasuk sos yang digunakan dihasilkan sendiri oleh cef berpengalaman bersama tiga orang pembantu menggunakan mesin khas.

“Oleh itu, rasa setiap hidangan di sini (Restoran Othai) pasti berbeza dan tidak akan sama dengan tempat lain.

“Anda sendiri boleh rasa perbezaan kuah tomyam yang tidak begitu pedas dan masam namun cukup rasa dari segi manis serta masin daripada rempah-rempah yang dihasilkan sendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Restoran Othai mula dibuka sekitar November tahun lalu.

Antara menu signatur restoran tersebut ialah tomyam makanan laut, udang salut mentega, ayam mangga, ulam sambal belacan, siakap stim sos limau, ayam pandan, udang sos kantan dan banyak lagi.

Hidangan ikan

Selain itu, nasi daripada beras wangi siam pula menyempurnakan lagi pengalaman menikmati hidangan asli Thailand.

Pengunjung berpeluang menikmati tiga jenis hidangan ikan iaitu siakap, kerapu dan bawal emas pada harga bermula dari RM14 seekor.

Bagi peminat hidangan tomyam, terdapat tiga varian tomyam disediakan iaitu tomyam putih, merah dan santan.

Menariknya, manisan asli Thailand seperti Thab Thim Grob iaitu sengkuang Cina bersama nangka turut ditawarkan.

Restoran tersebut mampu menempatkan sehingga 70 orang tetamu dalam satu-satu masa.

Tambah Bonma, bagi menghiburkan tetamu yang hadir, pengunjung turut didendangkan lagu-lagu tradisional Thailand ketika menjamu selera.

Ia dikatakan mampu membangkitkan suasana makan malam yang harmoni bersama keluarga dan insan tersayang.

“Restoran Othai menawarkan pengalaman makan malam dalam keadaan mewah dan selesa.

“Pengunjung dapat beristirehat dalam keadaan bilik berpendingin hawa,” jelasnya.